Apa nasib anak-anak Angelina Jolie dan Brad Pitt?

Astro Awani
September 21, 2016 11:08 MYT
Pasangan A-list itu berkahwin sejak 2014, namun hidup bersama sejak 2004. - Gambar fail
DUNIA hiburan antarabangsa dikejutkan dengan berita perceraian ‘power couple’ Angelina Jolie dan Brad Pitt pada Selasa.
Jolie dilaporkan telah menfailkan penceraian dari Pitt dengan turut menuntut hak penjagaan kesemua enam anak mereka.
Menurut laporan itu lagi, Jolie, 41, menfailkan dokumen terbabit pada Isnin dengan memberikan alasan hubungan mereka tidak lagi mampu dipulihkan.
Hak penjagaan anak-anak mereka kini menjadi perbualan peminat mereka di seluruh dunia.
Terbaharu, portal hiburan TMZ melaporkan Jolie sedang berusaha untuk memberi 'joint legal custody' iaitu hak penjagaan bersama.
Jolie dalam satu kenyataan pada Selasa mendedahkan bahawa ini adalah masa penting untuk beliau menghabiskan masa bersama anak-anaknya.
Pitt dalam satu kenyataan melalui peguamnya berkata kepentingan anak-anak mereka adalah keutamaan mereka.
BACA: Angelina Jolie failkan penceraian terhadap Brad Pitt, tuntut hak penjagaan 6 anak - TMZ
Berikut ialah profil keluarga besar Angelina dan Pitt.
* Zahara, 11, ialah anak angkat yang diambil Jolie. Berasal dari Ethiopia, Jolie berjaya mengambilnya pada usia enam bulan dan membawanya pulang ke Los Angeles pada tahun 2005. Zahara kini mengikut jejak langkah Jolie dan mempunyai watak alih suara dalam filem Kung Fu Panda 3. Pitt juga terlibat dalam proses pengambilan anak angkat walaupun hubungan mereka masih baharu waktu itu.
* Shiloh, 10, anak kandung pertama Jolie-Pitt. Dilahirkan pada 2006, Shiloh mula mendapat perhatian media antarabangsa selepas Jolie mendedahkan kepada majalah terkemuka Vanity Fair pada 2010 yang Shiloh ‘ingin menjadi seorang budak lelaki’. Pitt turut menambah, Shiloh gemar digelar John dalam satu temuramah bersama dengan hos terkenal, Oprah Winfrey.
* Pax, 12 berasal dari Vietnam dan telah diambil oleh pasangan Jolie-Pitt pada usia tiga tahun. Sejak Vietnam tidak membenarkan pasangan tidak berkahwin untuk menjalani proses mengambil anak angkat – Pitt mengambil keputusan untuk menjadi penjaga yang sah selepas Jolie membawanya pulang ke Amerika Syarikat.
* Vivienne dan Knox, pasangan kembar buat Jolie dan Pitt. Jolie melahirkan pasangan kembar ini di Perancis pada 2008. Vivienne muncul bersama Pitt dalam filem Disney, Maleficent. Sewaktu di lokasi penggambaran,Vivienne seorang sahaja yang selesa berada di samping Jolie yang bermekap tebal dengan watak utama filem itu.
#Angelina Jolie #Brad Pitt #fail #knox #Maddox #perceraian #Shiloh #vivienne
;