Anwar ucap 'selamat datang' Coldplay, peminat minta tiket harga 'Rahmah'
Astro Awani
Mei 9, 2023 14:39 MYT
Mei 9, 2023 14:39 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock terkenal British, Coldplay yang akan menjayakan konsert mereka di Kuala Lumpur, pada 22 November depan.
"Selamat datang ke Kuala Lumpur!" tulis Anwar ringkas di Twitter sebentar tadi.
Ramai yang mengalu-alukan kedatangan Coldplay itu malah ada yang meminta agar harga tiket Rahmah disediakan untuk konsert mega tersebut.
"Kami nak minta tiket Coldplay harga Rahmah boleh tak Datuk Seri?," kata individu yang menggunakan nama ImnNazri.
Kuala Lumpur menjadi pilihan Coldplay dalam siri jelajah Music of the Spheres World Tour tahun ini selain Taiwan, Jepun, Jakarta dan Australia.
Coldplay yang dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion itu popular dengan lagu-lagu seperti My Universe, The Scientist, Yellow, Hymn for the Weekend, Fix You, Viva La Vida dan banyak lagi.
Siri jelajah Coldplay telah bermula sejak Mac 2022 dan band itu telah menjadi antara artis yang menjual tiket konsert terbanyak di dunia.
Malah, band masyhur dunia itu juga pernah dianugerahkan Favourite Touring Artist tahun 2022 oleh Anugerah AMA dan Tour of the Year 2023 di Anugerah iHeartRadio, baru-baru ini.