Anugerah Seni BOH Cameronian dekati rakyat

Muzaffar Mustapa
Mac 25, 2013 07:09 MYT
Untuk tahun ke sepuluh penganjuran majlis anugerah seni pentas tanahair, Anugerah Seni BOH Cameronian (10BCAA) bakal diadakan dalam premis yang lebih berskala besar. Majlis anugerah tersebut bukan sekadar mengiktiraf karya-karya seni pentas yang dipersembahkan tahun lalu, malah Kakiseni selaku penganjur turut merancang untuk mendekatkan seni pentas dengan rakyat.
Menjelang malam kemuncak, satu festival seni bakal diadakan di Pavilion KL yang mengetengahkan bakat-bakat seni tempatan dan antarabangsa di pentas teater, muzik, seni muzik jalanan, seni visual tampak dan forum diskusi.
Sepanjang penganjurannya, inilah kali pertama malam kemuncak anugerah seni berprestij itu dilangsungkan di sebuah tempat terbuka, Centre Court, Pavilion KL pada 1 Mei depan.
Menurut Ketua Kakiseni, Low Ngai Yuen, “Usahasama dengan BOH untuk tahun kesepuluh amat dihargai dalam menyokong usaha mengiktiraf bakat serta membuka laluan baru untuk penggiat seni mempersembahkan karya mereka baik di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.”
Tambah Yuen lagi, “Seni pentas perlu mendekati rakyat. Untuk itu pada tahun ini kami membawakannya ke tempat terbuka iaitu pusat membeli-belah terkemuka, Pavilion KL. Kami berharap masyarakat sekeliling dapat didedahkan dan diperkenalkan dengan karya seni yang telah kita usahakan selama ini. Semoga dengan cara ini, masyarakat akan dapat lebih menghargai seni budaya kita sendiri.”
Pada tahun ini sebanyak 39 anugerah bakal diberikan kepada penggiat seni teater, tarian, muzik dan teater muzikal daripada 30 pementasan yang berjaya memperolehi pencalonan. (Klik untuk senarai penuh pencalonan 10BCAA)
Pemenang anugerah tahun ini bakal menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan sebuah trofi pewter tajaan Royal Selangor. Trofi yang direka secara eksklusif oleh pengukir terkenal, Multhalib Musa itu akan tertera nombor siri berserta tandatangan pengukir yang akan menjadi barangan koleksi terpilih pada masa akan datang.
Sementara itu, dua teater arahan pengarah prolifik Jo Kukathas iaitu Nadirah dan Parah masing-masing menerima tujuh dan tiga pencalonan. Nadirah, teater yang mengangkat tema hubungan keluarga dan meraikan kepelbagaian agama itu dicalonkan dalam kategori Pengarah Terbaik, Rekaan Cahaya Terbaik, Rekaan Set Terbaik, Rekaan Muzik dan Bunyi Terbaik, Pelakon Utama Terbaik (Neo Swee Lin) dan dua pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik untuk Farah Rani dan Patrick Teoh.
Manakala Parah, teater yang baru-baru ini dipentaskan di World Theater Festival di Brisbane, Australia dicalonkan dalam kategori Persembahan Berkumpulan Terbaik, Skrip Asal Terbaik dan Muzik dan Bunyi Terbaik.
Teater rakyat Usikan Rebab memperoleh enam pencalonan termasuk Pengarah Terbaik (Norzizi Zulkifli), Rekaan Cahaya Terbaik, Rekaan Set Terbaik, Rekaan Muzik dan Bunyi Terbaik serta kategori Pelakon Utama Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik yang masing-masing diperolehi pasangan suami isteri, Zamzuriah Zahari dan Kamarul Baisah Hussin.
Dalam kategori teater muzikal menyaksikan dominasi teater muzikal Empress Wu yang menerima 15 pencalonan.
Untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai majlis tersebut, sila layari awards.kakiseni.com atau pun menerusi Twitter dengan hashtag #10BCAA.
#boh cameronian arts awards #muzik #nadirah #parah #tarian #teater #teater muzikal #usikan rebab
;