Anugerah Meletop ERA 2021 ditunda
Astro Awani
Januari 29, 2022 20:16 MYT
Januari 29, 2022 20:16 MYT
KUALA LUMPUR: Ekoran peningkatan jumlah kes harian COVID-19, Astro memutuskan untuk menunda penganjuran Anugerah Meletop ERA 2021 (AME2021) yang sepatutnya diadakan esok (30 Januari) ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Stesen televisyen satelit pertama negara itu membuat keputusan berat itu selepas memikirkan aspek keselamatan dan kesejahteraan setiap mereka yang terlibat dalam mana-mana produksi Astro.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, Astro memaklumkan, dalam apa situasi sekalipun, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak berwajib sentiasa menjadi keutamaan stesen berkenaan.
Bahkan, Astro juga sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif untuk melaksanakan pemeriksaan pra kesihatan dan ujian saringan COVID-19 secara menyeluruh ke atas semua yang terlibat sebelum bermulanya mana-mana program yang diterbitkan.
“Justeru, kami dengan ini ingin memohon maaf kepada semua yang terlibat terutamanya barisan artis, para penaja, rakan-rakan niaga, penonton khususnya pengundi dan kru produksi di atas kejadian yang tidak diduga dan di luar kawalan kami ini.
“Sekali lagi, ingin ditekankan di sini bahawa keputusan ini telah diambil kerana keselamatan mereka yang terlibat sentiasa menjadi keutamaan kami,” kata Astro dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, sebelum acara berlangsung, berdasarkan pemeriksaan pra saringan kesihatan ke atas kesemua yang bakal menyertai produksi AME2021, sejumlah individu telah dikenal pasti perlu dikecualikan, termasuk mereka yang harus menjalani proses kuarantin kendiri dalam tempoh waktu seperti yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Walaupun mereka telah dikesan lebih awal dan tidak dibenarkan masuk ke lokasi rakaman AME2021, kami tetap mengambil langkah lebih berjaga-jaga, dan tidak ingin mengambil sebarang risiko berkenaan dengan keselamatan mana-mana pihak memandangkan statistik harian semakin meningkat,” jelas Astro lagi yang akan memantau situasi semasa dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak.