Anugerah MeleTop Era 2015: Siapa bakal menang?

Azyyati Ahmad
Februari 21, 2015 04:46 MYT
Zizan dominasi pencalonan, AC Mizal dan Akim di tangga kedua dengan tiga pencalonan. - Foto Fail
Siapa bakal pemenang Anugerah MeleTOP Era (AME) 2015?
Bagi tahun ini, pelakon, pelawak dan penyanyi Zizan Razak sekali lagi mendominasi pencalonan AME 2015 dengan tercalon dalam lapan kategori.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak tercalon menerusi kategori Artis Lawak MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP, Hos TV MeleTOP, Pelakon TV MeleTOP, Fesyen MeleTOP, Bintang Online MeleTOP dan Lagu MeleTOP menerusi lagu Infiniti Cinta dan Grup Duo MeleTOP bersama Kaka Azraff.
Manakala Datuk AC Mizal, Datuk Siti Nurhaliza dan Akim Ahmad pula berada di tangga kedua apabila masing-masing tercalon untuk tiga buah kategori.
Anugerah MeleTOP Era 2015 mempertandingkan 18 kategori termasuklah empat kategori baharu iaitu ‘Drama TV MeleTOP’, ‘Hos TV MeleTOP’, ‘Artis Lawak MeleTOP’ dan ‘Pelakon TV MeleTOP’.
Lihat apa kata beberapa selebriti yang dihubungi Astro AWANI harapan mereka dengan pencalonan di AME 2015 ini.
Siapa bakal menang? AC Mizal, Zizan atau Akim? - Foto Fail
ZIZAN RAZAK
Mendapat lapan pencalonan ini sudah cukup besar buat saya. Saya tidak harap apa-apa cuma terserah kepada rezeki Allah SWT.
Namun saya cukup bangga dan sangat happy bila ramai yang menyokong saya sehingga ke lapan pencalonan.
AC MIZAL
Sebenarnya anugerah ini bergantung kepada peminat. Namun saya berharapkan kepada kemenangan kerana ia menandakan hasil kerja saya dihargai dan dalam masa yang sama dapat membanggakan peminat-peminat saya terutamanya kelab peminat ‘AC Peace Yall Lovers’.
Apa yang penting, menjadi finalis maksudnya saya masih diterima dalam industri ini dan masih bertahan selama 23 tahun sebagai anak seni.
AKIM AHMAD
Semoga saya menang! (ketawa). Terpulang kepada peminat. Apa yang pasti jika kemenangan menjadi milik saya, pujian tersebut harus diberikan kepada peminat kerana itu adalah hasil undian mereka.
Namun saya tak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang. Kalau Ada rezeki, adalah.
Untuk pencalonan dalam kategori Lagu MeleTOP bagi lagu Mewangi, saya tak merasakan kemenangan di Anugerah Industri Muzik (AIM) lalu adalah tiket untuk menang dalam kategori ini. Namun saya mengaku, lagu tersebut banyak membawa tuah dalam kerjaya saya. Kita tengoklah macam mana nanti.
NEELOFA
Alhamdulillah, tahun ini saya dicalonkan. Kalau nak cakap pasal harapan, tipulah kalau tak nak menang - Astro Gempak.
AMAN AF
Saya tak sangka nama saya akan tercalon untuk Anugerah MeleTOP memandangkan saya masih baru dalam industri ini. Ini umpama langkah kanan dan permulaan dalam karier saya. Menang atau kalah saya tolak tepi kerana itu semua bergantung pada rezeki masing-masing.
Saya tidak ada masalah, kalau lihat senarai pencalonan tu semuanya yang hebat-hebat. Kalau nak kata dari segi persaingan bagi saya ini adalah persaingan yang sihat. Saya tak mahu terlalu fikirkan sangat kerana bagi saya dapat tercalon pun saya rasa cukup bersyukur. - Astro Gempak.
Bertemakan ‘Yang Hit, Yang Legend’, AME akan berlangsung pada 22 Februari ini dari Stadium Putra Bukit Jalil, jam 9 malam.
Siaran ini boleh ditonton secara eksklusif di Astro Ria (104) dan siaran serentak di Maya HD (135), Astro Hitz (705) serta menerusi aplikasi Astro On-The-Go.
#AME 2015 #Anugerah MeleTop Era 2015