Antara Parasite atau 1917, mana satu Filem Terbaik Oscars 2020?
Aza Jemima Ahmad
Februari 9, 2020 10:00 MYT
Februari 9, 2020 10:00 MYT
BUAT para penggemar filem, pastinya ternanti-nanti pengumuman bagi kategori Filem Terbaik di Oscars yang bakal berlangsung pada 10 Februari ini di Dolby Theatre, California.
Antara sembilan filem yang tercalon untuk kategori Filem Terbaik, 1917 dan Parasite adalah dua filem yang paling kerap diramal untuk memenangi kategori tersebut.
Buat yang belum sempat menonton kedua-dua filem ini, berikut adalah sedikit sinopsis bagi filem-filem tersebut.
1917
Filem 1917 ini mengisahkan perajurit-perajurit Perang Dunia pertama di utara Perancis.
Dua anggota tentara muda Britain, Schofield dan Blake, diberikan misi untuk menyampaikan pesanan peringatan bahawa akan terdapat serangan dalam salah satu pertempuran segera setelah pasukan Jerman mundur ke Garis Hindenburg dalam Operasi Alberich.
Mereka berdua bergegas dalam menyelesaikan misi, melintasi wilayah musuh untuk menyampaikan peringatan dan menjaga satu batalion Britain yang terdiri dari 1,600 tentera, termasuk Blake sendiri, agar tidak masuk ke dalam perangkap yang boleh membawa maut itu.
Baru-baru ini, filem bertema drama dan aksi ini telah berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik di British Film Academy Awards (BAFTA) yang diadakan di Royal Albert Hall, London, Isnin lalu.
1917 ditayangkan pada 4 Disember 2019 dan berjaya mengutip sebanyak ASD$200 juta. Selain itu, Sam Mendes dan Pippa Harris yang merupakan pengarah bagi filem ini, turut tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik.
Parasite
Parasite mengupas kehidupan keluarga Kim Ki Taek, seorang pemandu dan isterinya Choong Sook, serta dua orang anak mereka yang sudah meningkat dewasa.
Mereka berempat tinggal di sebuah apartmen bawah tanah yang tidak layak dihuni.
Keluarga ini mengharungi kesempitan dalam hidup dan hanya bergantung pada kerja melipat kotak piza untuk menjana pendapatan.
Namun pada satu hari, Ki Woo, anak lelaki Ki Taek dan Choong Sook, mendapat pekerjaan untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris, membolehkan mereka menjana pendapatan yang lebih banyak.
Pekerjaan ini ditawarkan oleh teman rapat Ki Woo yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Menjadi tumpuan keluarganya, Ki-woo kemudian tiba ke rumah bakal pelajarnya iaitu keluarga Park yang bekerja di bidang IT.
Apabila Ki-woo tiba di rumah keluarga Park, dia bertemu dengan seorang wanita muda yang bernama Yeon-kyo. Maka bermulalah keluarga ini berfikir strategi untuk memperbaiki keadaan kehidupan mereka yang serba miskin.
Bercampur unsur komedi, filem thriller dari Korea Selatan ini mempamerkan elemen-elemen syak wasangka dan juga ketamakan sesetengah individu.
Seperti 1917, pengarah filem Parasite juga, Bong Jong Ho menerima pencalonan bagi kategori Pengarah Terbaik, diikuti dengan beberapa kategori lain seperti Filem Bahasa Asing Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik.
Parasite, mula ditayangkan pada 15 Ogos 2019 telah berjaya mengutip sebanyak ASD$30 juta.
Filem berdurasi selama 2 jam 12 minit ini juga telah berjaya meraih anugerah Filem Asing Terbaik di acara Golden Globe yang ke-77 baru-baru ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem-filem yang dicalonkan untuk Oscars pada tahun ini. Filem apakah yang akan berjaya merampas anugerah Filem Terbaik untuk tahun ini?
* Malam kemuncak Oscars 2020 boleh ditonton secara eksklusif di saluran Hello (saluran 110, Astro) serta di saluran Astro Ria (saluran 104) bermula pukul 9 pagi pada 10 Februari 2020.
* Sementara tayangan karpet merah yang dibawakan secara langsung dari Los Angeles, Amerika Syarikat pula akan bermula pukul 7.30 pagi juga di saluran Hello dan Astro Ria