'Anora' buat kejutan, menang besar di Oscars 2025

Astro Awani
Mac 3, 2025 12:40 MYT
Barisan pengarah, penerbit dan pelakon serta kru "Anora" berada di atas pentas bagi menerima trofi Filem Terbaik pada majlis Anugerah Akademi ke-97. -REUTERS
LOS ANGELES: Karya romantis "Anora" dinobat sebagai pemenang dalam kategori utama "Filem Terbaik" di Anugerah Akademi ke-97 yang berlangsung pada pagi Ahad (waktu Malaysia).

Ringkasan AI
  • "Anora" memenangi kategori Filem Terbaik di Anugerah Oscar ke-97, bersama empat anugerah lain: Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Suntingan Terbaik, dan Lakon Layar Terbaik.
  • Adrien Brody dan Mikey Madison masing-masing memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.
  • Zoe Saldana dan Kieran Culkin memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Anora berkisarkan kisah percintaan di antara wanita kelas bawahan yang juga seorang pekerja seks dengan anak lelaki jutawan dari Rusia, di mana hubungan mereka diuji hebat apabila mendapat tentangan keluarga.
Ia turut memenangi anugerah Pengarah Terbaik untuk Sean Baker, dan Mikey Madison sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
Filem arahan Sean Baker itu berjaya melakar sejarah apabila turut membawa pulang dua anugerah dalam kategori lain iaitu Suntingan Terbaik, dan Lakon Layar Terbaik.
Rekod sebelum ini dipegang oleh Walt Disney yang membolot empat anugerah Oscar pada satu malam bagi edisi ke-25, namun ia adalah untuk empat filem berbeza.
Sementara itu, trofi Pelakon Lelaki Terbaik diraih Adrien Brody melalui peranannya sebagai pendatang Yahudi dan arkitek yang mengejar impian di Amerika Syarikat dalam "The Brutalist."
Bagi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula disandang Zoe Saldana untuk peranannya sebagai penyelesai masalah bagi ketua dadah Mexico dalam dilem muzikal berbahasa Sepanyol Netflix "Emilia Perez."
Saldana menewaskan beberapa bintang terkenal termasuk Ariana Grande, Felicity Jones, Monica Barbaro dan Isabella Rossellini.
Kieran Culkin, yang mula berlakon sejak kecil, menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk peranannya sebagai seorang daripada dua sepupu yang mengembara ke Poland untuk mengkaji asal-usul keluarga mereka dalam "A Real Pain."
Berikut adalah senarai pemenang bagi semua kategori di Anugerah Akademi 2025:
Filem Terbaik: “Anora”
Pelakon Lelaki Terbaik: Adrien Brody (The Brutalist)
Pelakon Wanita Terbaik: Mikey Madison (Anora)
Pengarah Terbaik: Sean Baker (Anora)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Kieran Culkin (A Real Pain)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Zoe Saldaña (Emilia Pérez)
Lakon Layar Asal Terbaik: Anora
Lakon Layar Adaptasi Terbaik: Conclave
Filem Animasi Terbaik: Flow
Filem Pendek Animasi Terbaik: In the Shadow of the Cypress
Filem Antarabangsa Terbaik: I'm Still Here (Brazil)
Filem Dokumentari Terbaik: No Other Land
Filem Dokumentari Pendek Terbaik: The Only Girl in the Orchestra"
Skor Asal Terbaik: The Brutalist
Lagu Asal Terbaik: El Mal (Emilia Pérez)
Bunyi Terbaik: Dune: Part Two
Reka Bentuk Produksi Terbaik: Wicked
Filem Pendek Aksi Langsung Terbaik: I'm Not a Robot
Sinematografi Terbaik: The Brutalist
Solekan dan Dandanan Rambut Terbaik: The Substance
Reka Bentuk Kostum Terbaik: Wicked
Kesan Visual Terbaik: Dune: Part Two
Suntingan Filem Terbaik: Anora
Pemenang Oscar dipilih daripada kira-kira 11,000 pelakon, penerbit, pengarah dan penggiat filem yang membentuk Akademi Seni dan Sains Filem.
#Anora #Filem Terbaik #Anugerah Oscar ke-97 #Adrien Brody dan Mikey Madison
;