Anjur konsert terakhir, Noraniza Idris mahu jemput Siti Nurhaliza sebagai tetamu VIP
Gempak
Mei 15, 2022 12:56 MYT
Mei 15, 2022 12:56 MYT
PENYANYI yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris meluahkan hasrat untuk menjemput penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai tetamu pada konsert Malai Solo yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Oktober ini.
Menurut Noraniza yang lebih mesra disapa Kak Ani, ini merupakan konsert terakhir yang dianjurkan oleh dirinya sendiri.
“Saya ada hasrat kalau masa konsert saya nanti, saya nak jemput dia datang sebagai tetamu VIP. Sebab ini konsert terakhir saya anjurkan untuk diri sendiri.
“Kalau boleh, hasrat itu memang nak dia datang sebagai tetamu VIP,” ujar Kak Ani ketika ditemubual.
Kak Ani ditemui pada majlis rumah terbuka rewang dan showcase Che Ani (Noraniza Idris) yang berlangsung di Maju Link pada Sabtu.
Tambah Kak Ani lagi, konsert yang menelan belanja hampir RM2.5 juta ini akan berlangsung selama tiga hari melibatkan festival seni yang turut diadakan di lokasi yang sama, Istana Budaya.
Dalam pada itu, Kak Ani meluahkan rasa sebak apabila melihat Siti menangis sewaktu menunaikan umrah baru-baru ini sehingga membuatkan dia meninggalkan kata-kata semangat buat Siti.
Jelas Kak Ani, bukan sahaja melibatkan insiden Siti menangis di Mekah, bahkan dia sentiasa mendoakan kejayaan pelantun lagu Purnama Merindu itu sehingga ke hari ini.
“Saya sebenarnya nak komen pada ruangan TikTok dia tapi tak boleh sebab dah penuh dengan komen peminat. Tapi saya cari jalan jugak macam mana saya nak komen tu.
“Tengok video Siti menangis tu, sedih sangat, sayu sebab saya pernah melalui situasi yang sama, merasai pengalaman berada di sana. Nak-nak dia sebagai penyanyi nombor satu di Malaysia, so dia tiada privacy.
“Dekat sana dia jadi diri dia. Jadi saya faham dan sebak, itu yang saya nak sampaikan sesuatu pada dia, saya mendoakan dia sampai sekarang. Dia dapat capai apa yang dia inginkan, Alhamdulillah dia dah berjaya,” ujar Kak Ani lagi.