'Anjang Aki' meninggal dunia

Astro Awani
Julai 24, 2021 20:27 MYT
Allahyarham Baharuddin Omar yang berusia 85 tahun meninggal dunia kerana penyakit pembuluh darah bengkak di kediamannya di Shah Alam, Selangor.
KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Datuk Baharuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam sekitar pukul 6.30 petang Sabtu.
Berita duka pemergian aktor yang pernah menempah kemasyhuran menerusi watak Anjang Aki dalam drama bersiri terbitan RTM dan filem Irisan Irisan Hati itu disahkan oleh isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar.
Allahyarham yang berusia 85 tahun meninggal dunia bukan disebabkan oleh pandemik COVID-19, sebaliknya, kerana penyakit pembuluh darah bengkak.
Menurut Nazariah, arwah suaminya meninggal dunia bukan disebabkan pandemik COVID-19, sebaliknya kerana menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.
Allahyarham Baharuddin meninggal dunia di sisi Nazariah dan dua anak mereka.
"Arwah baru selesai makan dan kemudiannya, masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik. Selepas itu, arwah langsung tidak sedarkan diri,” katanya seperti dilaporkan portal BH Online.
Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.
Sementara itu, Allahyarham Baharuddin juga baru-baru ini diwawancara oleh personaliti terkenal, Datuk Aznil Nawawi dalam program Yang Dulu Pergi terbitan Astro.
Yang Dulu Pergi merupakan program yang menzahirkan penghargaan kepada karyawan seni veteran.
** Saksikan amanat terakhir Allahyarham Baharuddin Omar dalam episod istimewa Yang Dulu Pergi bersama Allahyarham Datuk Anjang Aki pada pukul 9 malam ini di Astro Prima (saluran 105).
#Anjang Aki #Baharuddin Omar #meninggal dunia #pembuluh darah bengkak #Yang Dulu #Astro #Irisan Irisan Hati
;