Anita Sarawak, Rahimah Rahim dimasuk dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura
Bernama
Mac 9, 2017 23:26 MYT
Mac 9, 2017 23:26 MYT
Diva pop 70-an dari Singapura, Anita Sarawak dan Rahimah Rahim bakal menjadi artis pertama dibariskan di Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura (SWHF), lapor akhbar The Straits Times hari ini.
Ia berkata SWHF dilancarkan oleh Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) pada 2014 bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang golongan wanita kepada Singapura.
Penaung SCWO, Mary Tan yang juga isteri Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam akan menyampaikan trofi kepada mereka atau wakil mereka dalam majlis makan malam gala pada 24 Mac di hotel Shangri-La.
Penghargaan kepada Anita dan Rahimah adalah penting kepada industri muzik Singapura, komposer dan penghibur Singapura, Dick Lee dipetik sebagai berkata.
Laporan akhbar itu memetik Rahimah, 61, yang akan membuat persembahan di majlis penganugerahan itu sebagai berkata beliau merasa amat dihargai untuk dipilih.
"Saya selalunya tidak dapat berkata-kata. Pada majlis itu ucapan saya akan dibuat menerusi lagu yang akan saya pilih pada malam itu," katanya.
The Straits Times turut melaporkan Anita yang menetap di Amerika Syarikat tidak dapat hadir nanti.
-- BERNAMA