Anita Sarawak mahu nikmati kehidupan normal
Astro Awani
Jun 21, 2021 19:12 MYT
Jun 21, 2021 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kerinduan peminat terhadap penghibur legenda Anita Sarawak sehingga kini belum terjawab.
Sudah hampir sedekad, artis tersohor kelahiran Singapura yang menempah kemasyhuran di Malaysia selain pernah berhijrah ke Las Vegas, Amerika Syarikat pergi ‘membawa diri’ tanpa dapat dikesan oleh media.
Bukan sekali wartawan hiburan cuba menjejaki Anita dan suaminya, Mahathir Abdullah, namun, tidak ada sebarang petunjuk di mana kedudukan mereka.
Namun begitu, sebaris jawapan yang ditulis oleh Mahathir kepada mesej yang dikirim wartawan hiburan, Shuib Taib di akaun Instagramnya menjawab segala tanda tanya ramai.
“Thank you so very much Shuib. We miss you,” demikian jawapan yang ditulis Mahathir sebagai membalas kiriman ucapan hari lahir daripada Shuib buatnya.
Kegembiraan dan keterujaan Shuib menerima jawapan tersebut dikongsi beliau di akaun Instagramnnya.
Sekalipun hanya pendek jawapan itu, namun mesej yang dibalas Mahathir juga memberi kelegaan kepada Shuib yang sememangnya akrab dengan pasangan itu.
“Abang Mahathir dan Kak Nita sihat seadanya, mereka mahu menikmati hidup yang normal,” kata Shuib berkongsi cerita dengan Astro AWANI tanpa memaklumkan di mana pasangan itu kini menetap.
Anita yang juga anak kepada seniman dan seniwati legenda, Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan Allahyarham Siput Sarawak mesra disapa sebagai Kak Nita manakala suaminya pula dikenali sebagai Abang Mahathir.
Dalam kalangan wartawan hiburan tanah air, Shuib dikenali sebagai individu yang sangat rapat dengan Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohamed Taib.
Semasa berkhidmat dengan akhbar New Straits Times, Shuib merupakan pengamal media yang sering menulis mengenai penyanyi yang pernah popular dengan lagu Akhirnya Kini Pasti dan Cinta Nan Satu itu.