Animator tempatan bangga dicalonkan Oscar
Muzaffar Mustapa
Januari 11, 2013 13:05 MYT
Januari 11, 2013 13:05 MYT
Hasil kerja 44 anak muda tempatan menerusi syarikat Rhythm & Hues diiktiraf apabila filem Life of Pi dicalonkan dalam kategori Kesan Khas Terbaik di Anugerah Akademi ke 85. Senarai pencalonan diumumkan lewat malam tadi.
Sebanyak 7 peratus kerja kesan khas dalam filem arahan pengarah Ang Lee itu dilakukan di Kuala Lumpur antaranya adegan yang melibatkan seekor harimau Bengal “Richard Parker” bersama Pi di tengah lautan.
Menerima berita gembira itu lewat malam tadi, Hasnul Hadi Samsudin berkata pasukan kerjanya gembira dengan pencalonan tersebut sekaligus membuktikan anak tempatan mampu bersaing di arena antarabangsa.
“Kami masih muda dan sangat teruja apabila menerima berita gembira itu lebih-lebih lagi apabila diiktiraf oleh majlis anugerah berprestij. Menerima pencalonan saja sudah cukup menggembirakan. Ia satu testimonial yang penting buat industri yang diwakili oleh anak muda tempatan.” ulas Hasnul selaku Pengurus Kanan, Rhythm & Hues Malaysia.
Selain Life of Pi, mereka juga cukup berbangga apabila filem Snow White and the Huntsman turut dicalonkan dalam kategori yang sama.
“Kami di Kuala Lumpur turut sama menghasilkan adegan “enchanted forest” yang dilabelkan oleh Roger Ebert sebagai pengalaman menonton kesan khas terbaik dalam sesebuah filem.” tambahnya lagi.
Baru ditubuhkan tiga tahun lalu, Hasnul yakin pencalonan tersebut akan melonjakkan kredibiliti syarikat tempatan itu dalam bidang kesan khas di peringkat antarabangsa.
“ Animator muda tempatan yang ada sangat berbakat dan mampu untuk menghasilkan karya seni yang setanding di peringkat antarabangsa. Paling penting adalah peluang dan persekitaran untuk melakukannya dengan sokongan semua pihak.”
Selain filem Life of Pi dan Snow White and the Huntsman, turut bersaing adalah filem The Hobbits: An Unexpected Journey, The Avengers dan Prometheus.
Life of Pi dicalonkan dalam sebelas kategori termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik untuk Ang Lee.