Animasi 'Ummi' masuk musim baru, tembus pasaran antarabangsa
Gempak
Jun 5, 2014 17:39 MYT
Jun 5, 2014 17:39 MYT
Siri animasi “Ummi…ceritalah pada kami” (UCPK) terbitan Hud Hud Media Sdn Bhd kini bakal memasuki musim kedua.
Musim kedua kandungan berunsur keislaman itu sedang di dalam pembikinan dan bakal menemui para penonton pada awal tahun 2015.
Pengarah Hud Hud Media, Nora Ariffin berkata sambutan yang menggalakkan dari semua pihak merupakan faktor utama siri animasi ini disambung ke musim yang terbaru.
“Alhamdulillah…sambutan yang kami terima sangat-sangat baik. Untuk musim kedua ini UCPK akan lebih menarik dan kami menampilkan watak baru yang dipegang penyanyi cilik Ben Ladin.
“Bagaimanapun saluran televisyen untuk tayangan siri terbaru UPCK masih diperingkat perbincangan,” kata Nora ketika ditemui pada majlis sidang media “Ummi Xport di Restoran Puteri Sungai Penchala, pada Selasa.
Selain itu, siri animasi UCPK juga bakal dieksport ke 27 buah negara iaitu Indonesia, Brunei, Singapura, Kenya, Nigeria, Uganda, Ghana, Afrika Selatan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Lubnan, Algeria, Maghribi, Tunisia, Jordan, Mesir, Kuwait, Qatar, Syria, Turki, Itali, Kanada, Kazakhtan dan Ukrain.
“Buat permulaan UPCK akan ditayangkan di Indonesia menerusi saluran Global TV pada Ramadhan tahun ini sebelum ditayangkan di Itali dan Kazakhtan, InsyaAllah.
“Semoga produk tempatan UPCK ini mampu untuk menembusi pasaran dunia dan mampu membanggakan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya yang juga penyanyi popular tanah air.
Selain itu isteri kepada komposer terkenal Johan Nawawi ini menambah, pelbagai cabaran ditemuhi ketika mahu menghasilkan animasi berunsur islamik ini.
"Saya dan suami, Johan pernah ditolak oleh pihak yang mempersoalkan siapa yang mahu menonton animasi berkandungan Islamik?
"Penolakan itu kami terima dan sebaliknya menterjemahkannya sebagai satu cabaran kerana hasrat kami adalah memberi sajian bermesej kepada penonton kanak-kanak," ujarnya.