Animasi pendek tempatan 'Batik Girl' terima pengiktirafan antarabangsa
Hasimi Muhamad
November 21, 2019 19:07 MYT
November 21, 2019 19:07 MYT
FILEM animasi pendek Malaysia terus mengorak langkah ke hadapan apabila sebuah lagi karya tempatan Batik Girl menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, baru-baru ini.
Susulan kejayaan tersebut, pengarah dan rakan kongsi The R&D Studio, Irwan Junaidy memaklumkan filem berdurasi sembilan minit itu bakal dikembangkan ke skala yang lebih besar.
“Kami percaya dengan sokongan yang sesuai, Batik Girl dapat diperkembangkan dalam format lain.
“Kami juga mempunyai beberapa idea untuk memperluaskan lagi cerita di sekitar dunia Batik Girl.
“Kami percaya dengan sokongan yang sesuai, Batik Girl boleh dijadikan sebagai sebuah filem cetera,” katanya kepada Astro AWANI.
Jelas Irwan, proses pembikinan Batik Girl mengambil masa selama 12 bulan melibatkan pembangunan cerita dan proses penganimasian, sebelum ia mula dihantar ke festival filem pada Julai 2018.
Kehebatan filem animasi pendek terbitan The R&D Studio itu nyata tidak boleh disangkal apabila ia ditayangkan di 26 festival filem di 17 negara terpilih di seluruh dunia.
Malah, Batik Girl turut berjaya memenangi beberapa anugerah termasuk anugerah Filem Animasi Pendek terbaik Festival de Largos y Cortos de Santiago di Chile dan anugerah Honorable Mention in Audience Favourite di Florida.
“Kami bertuah kerana menerima Geran Cabaran Pereka Harta Intelek (IPCC) yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Ogos 2017.
“Melalui program ini, kami mendapat tunjuk ajar daripada mentor-mentor yang berjaya dalam industri. Geran ini membolehkan kami untuk bekerjasama dengan studio animasi lain, serta para penggubah muzik,” ujarnya.
Mengulas mengenai idea, penulisnya, Heidi Shamsuddin berkata ia tercetus ketika beliau dan Irwan menyertai Pesta Buku Kanak-Kanak di Bologna, Itali pada 2017.
“Ketika itu, kami ingin menghasilkan sebuah buku bergambar tanpa perkataan yang menampakkan ciri-ciri Malaysia.
“Pada masa yang sama, ramai orang tertarik dengan alas meja yang digunakan di Malaysian Pavilion. Saya amat meminati seni batik, dan ingin meneroka kisah atau naratif di sebalik simbol-simbol dan corak seni batik,” jelasnya.
Katanya, kekuatan utama Batik Girl dapat dilihat pada perincian animasi dalam kedua-dua babak dunia nyata dan dunia batik, selain jalan cerita yang sederhana, namun mampu menyentuh hati para penonton di seluruh dunia.
Batik Girl mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Mas yang terpaksa mengharungi kehidupan selepas berdepan tragedi kehilangan ibu bapa.
Pengembaraan yang dilalui oleh Mas di dunia batik menunjukkan perasaan sedih, marah, takut, dan ditinggalkan oleh ibu bapanya, di mana kanak-kanak perempuan itu kemudian dapat merasa perasaan sayang dan mula menerima nasibnya.
“Dalam “Batik Girl”, kami memilih untuk memberi tumpuan kepada hubungan di antara seorang nenek dan cucu perempuannya, kerana ia merupakan satu emosi asas yang dapat difahami oleh orang ramai.
“Walaubagaimanapun, filem pendek ini menceritakan tentang kesedihan dalam kehilangan orang tersayang.
“Akhirnya, Mas keluar dari pengembaraan itu menjadi seorang yang lebih kuat dengan bimbingan neneknya,” kata Heidi.
#Batik Girl
#Batik Girl kisah gadis bernama Mas
#Batik Girl terima pengiktirafan antarabangsa
#Batik Malaysia
#Filem animasi Batik Girl
#filem Malaysia
#Upin Ipin