Anil Kapoor teruja anugerah IIFA kembali ke Malaysia
Syafique Shuib
April 9, 2015 18:21 MYT
April 9, 2015 18:21 MYT
Bintang terkenal Bollywood Anil Kapoor dan Bipasha Basu berada di ibu kota untuk mengumumkan Malaysia sebagai tuan rumah majlis Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA).
Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah acara berprestij ini.
Kata Anil dalam satu temubual bersama Astro AWANI, Malaysia merupakan destinasi yang tepat kerana ia banyak persamaan dengan India.
“Kami tidak sabar ke Malaysia, bukan sahaja saya tetapi seluruh penggiat seni di India kerana Malaysia sama seperti India.
"Terdapat satu tahap keselesaan di Malaysia seperti kita berjalan di negara sendiri. Makanan, nilai-nilai, tarian, minat kepada wayang, minat kepada muzik, nilai agama dan kekeluargaan sama seperti di India.
Bipasha Basu anggap bahawa majlis IIFA dapat menyatukan penggiat industri perfileman India.
“Bila kita di negara sendiri, kita tidak dapat untuk bersama kerana sibuk dengan projek masing-masing.
“Dengan IIFA, kita dapat ke luar negara dan diberi peluang untuk bersatu. Saya gembira IIFA kembali ke Malaysia dan saya tidak sabar untuk menghadiri majlis itu kerana majlis IIFA pertama saya adalah pada tahun 2002 di Genting Highlands,” kata Bipasha ketika sidang media.
Anil Kapoor dan Bipasha Basu tidak sabar untuk kembali ke Malaysia untuk IIFA edisi ke-16. -Astro AWANI/Shahir Omar
Sementara itu, penganjur tempatan iaitu Malaysia Major Events turut berkata pengajuran IIFA bukan untuk sekadar hiburan.
Menurut pengurus besarnya, Tony Nagamaiah, acara IIFA akan meningkatkan sektor pelancongan negara.
“IIFA adalah acara mega sempena Tahun Festival 2015. ia juga diluluskan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Ia bukan semata-mata acara hiburan. ia juga tentang membawa bisnes kepada Malaysia dan menjadikan malaysia sebagai destinasi untuk warga India.
“Kita telah lihat ramai pelakon dan pengarah India yang menggunakan Malaysia sebagai lokasi penggambaran dan kita mahu tingkatkan itu,” kata beliau.
Aksi Anil Kapoor dan Bipasha Basu bersama penari Istana Budaya ketika sidang media mengumumkan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah IIFA. -Gambar: Astro AWANI/Shahir Omar
IIFA 2015 akan diadakan pada 5 hingga 7 Jun dan akan menampilkan pertunjukan fesyen, tayangan filem, persembahan muzik dan tarian.
Acara kemuncak iaitu malam penganugerahan diadakan pada 7 Jun.
Selain Malaysia, hanya United Kingdom, Singapura dan Afrika selatan yang pernah menganjurkan IIFA buat dua kali. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah adalah pada tahun 2002.