Angkat isu autisme, Bunga Salju terima respons positif

Sinar Harian
Jun 20, 2024 13:15 MYT
Bunga Salju Drama yang disiarkan setiap jam 6 petang itu menampilkan gandingan mantap Hisyam Hamid sebagai Azizi, Amyra Rosli (Qaisara) dan Hariz Hamdan (Farouk).
ISU melibatkan autisme mungkin sering diperkatakan, tetapi tidak di dalam penerbitan drama mahupun filem.
Justeru bagi memberi kelainan, Metrowealth International Group (MIG) menampilkan jalan cerita yang berbeza dan segar mengenai isu autisme dalam drama Bunga Salju di slot Tiara, Astro Ria.
Drama yang disiarkan setiap jam 6 petang itu menampilkan gandingan mantap Hisyam Hamid sebagai Azizi, Amyra Rosli (Qaisara) dan Hariz Hamdan (Farouk) telah meninggalkan kesan di hati penonton.
Menurut penerbit iaitu David Teo, pihaknya gembira dengan sambutan yang diberikan penonton.
“Mulanya pihak kami agak bimbang peminat drama mungkin tidak mahu tonton drama tentang autisme, tetapi kami silap kerana Bunga Salju mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton.
“Saya sendiri difahamkan Bunga Salju mendapat rating tertinggi untuk slot Tiara di Astro Ria setakat ini dan apa yang membanggakan drama ini masih belum tamat dan berbaki banyak episod lagi,” ujar David Teo.


Sementara itu, pengarah Bunga Salju, Ejump Mohd berkata, dia berasa bimbang ketika mula-mula menerima naskhah tersebut apatah lagi isu autisme sudah diketahui secara meluas oleh masyarakat umum.
“Ketika mendapat karya Bunga Salju jujurnya saya tidak lena tidur, bimbang kerana ini bukan drama yang klise sebaliknya saya perlu buat banyak kajian terutama untuk watak Azizi seorang lelaki autistik.
“Kami ada sesi selama dua hari di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bersama barisan pelakon untuk melihat sendiri karakter orang autistik dengan lebih dekat.
“Alhamdulillah, saya tidak jangka drama ini mendapat sambutan yang luar biasa. Rasanya kami membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan pelakon. Sebagai pengarah saya bersyukur kami dapat menyampaikan kesedaran tentang autisme kepada semua peringkat usia,” kata Ejump.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Bunga Salju #Autisme #Hisyam Hamid #Amyra Rosli #Hariz Hamdan #Astro Ria
;