Anggun teruskan legasi kejayaan menerusi 'What We Remember'

Astro Awani
Disember 3, 2017 16:38 MYT
What We Remember yang baru sahaja dilancarkan telah pun memasuki carta Top 10 best selling iTunes.
Sebut sahaja nama Anggun Cipta Sasmi, siapa yang tidak kenal.
Jika sekali pun anda bukan peminat setianya, anda pasti mengenali dan mengetahui reputasi tinggi artis yang berasal dari Jakarta, Indonesia ini.
Memulakan kerjaya seni seawal usia 12 tahun, Anggun meninggalkan tanah airnya pada usia 20 tahun untuk mengejar cita-citanya sebagai artis antarabangsa.
Sejak itu, Anggun tidak menoleh ke belakang lagi. Bermula dengan lagu hit Snow On the Sahara, Anggun telah melahirkan enam album berbahasa Inggeris, empat album berbahasa Perancis, selain lima album dalam bahasa Indonesia.
Lagu-lagu nyanyian Anggun pernah tersenarai dalam beberapa buah carta muzik terkemuka antarabangsa, antaranya Billboard Dance Charts dan Billboard Pop Songs Charts.
Selain menyanyi, duta keamanan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyumbangkan kepakaran dan pengalamannya sebagai penyanyi apabila dilantik sebagai juri pertandingan realiti pencarian bakat Asia's Got Talent.
Single terbaharunya, What We Remember, yang baru sahaja dilancarkan telah pun memasuki carta Top 10 best selling iTunes. Album terbaharunya, '8' bakal menemui peminat 8 Disember ini.
Untuk peminat Anggun, pastikan anda meluangkan masa lunch break anda untuk bersama-sama menantikan pengumuman istimewa Anggun dan Fazura melalui sesi Facebook Live, jam 1 petang esok, di Facebook Astro AWANI.
#Anggun #Asia #eropah #Facebook #muzik #penyanyi #Single #Snow On the Sahara
;