Anggota kumpulan Backstreet Boys didakwa rogol penyanyi
Madiha Abdullah
November 24, 2017 12:25 MYT
November 24, 2017 12:25 MYT
NICK Carter, anggota kumpulan boy band terkenal 90an, Backstreet Boys (BSB) didakwa merogol seorang penyanyi pada tahun 2002.
Mangsa Melissa Schuman dalam satu pendedahan di blognya berkata kejadian itu berlaku ketika dia dan Carter terbabit dalam penggambaran drama televisyen berjudul "The Hollow".
Ketika kejadian, Schuman berusia 18 tahun dan Carter 22 tahun.
Dalam tulisan di blog itu, Schuman memberi penerangan yang cukup terperinci, bagaimana Carter menjemputnya dan beberapa lagi kru penggambaran ke rumah sebelum membawanya ke bilik air dan cuba mengadakan hubungan seks dengannya.
"Saya cuba sedaya upaya untuk menolaknya. Saya beritahu dia yang saya seorang yang konservatif dan tidak akan meniduri mana-mana lelaki selain suami saya," kata Schuman yang mengakui masih dara ketika kejadian itu berlaku.
Penolakan Schuman itu bagaimanapun tidak dipedulikan Carter yang kemudiannya merogolnya.
Kata Schuman, dia pernah berhasrat untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, namun bimbang akan kesan kepada kerjayanya.
Namun, selepas beberapa siri pengakuan selebriti yang pernah dicabul dan dirogol sebelum ini, Schuman bertekad untuk mendedahkan hal itu.
Carter dalam satu kenyataan yang dikeluarkan wakilnya memberitahu, dia kesal dengan tuduhan itu dan menafikan pernah merogol Schuman.
"Saya tidak pernah melakukan apa-apa tanpa persetujuannya. Sepanjang mengenalinya, saya menyokong setiap apa yang dilakukannya.
"Bukan sifat saya untuk menyakiti atau membuat sesiapa merasa tidak selesa dengan saya," kata Carter.