Anggota Abba Bjorn Ulvaeus kahwini pasangan
Bernama
September 23, 2024 11:30 MYT
September 23, 2024 11:30 MYT
LONDON: Anggota kumpulan Abba Bjorn Ulvaeus telah berkahwin dengan pasangannya Christina Sas dalam satu majlis yang dikendalikan oleh hos program "QI," Sandi Toksvig, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penyanyi Sweden berusia 79 tahun itu yang telah berkahwin dua kali sebelum ini bertemu dengan Sas di Nuremberg, Jerman pada 2021 semasa pelancaran album terakhir Abba, "Voyage."
Dalam hantaran di laman Instagram miliknya, Ulvaeus berkata: "Hari ini 21 September 2024 Bjorn Ulvaeus berkahwin dengan Christina Sas dari Herning, Denmark.
"Mereka bertemu di Nurnberg pada 2021 sempena pelancaran album terakhir Abba, Voyage, dan mula menjalinkan hubungan cinta pada musim bunga 2022.
"Majlis perkahwinan diadakan di Copenhagen dengan dihadiri rakan terdekat dan keluarga.
"Sandi Toksvig, Anne Linnet dan Kaya Bruel tampil membuat persembahan dan menjadikan malam itu lebih istimewa."
Ulvaeus turut berkongsi beberapa gambar dari hari bersejarah itu dengan satu daripadanya menunjukkan bekas hos "Great British Bake Off" Toksvig berdiri di sebelah Ulvaeus yang mengenakan sut manakala isterinya mengenakan gaun hijau.
Ulvaeus dikenali sebagai seorang daripada anggota kumpulan pop Sweden Abba yang tahun ini meraikan 50 tahun sejak mereka memenangi Pertandingan Lagu Eurovision menerusi lagu Waterloo.
Kumpulan itu terdiri daripada dua pasangan - Ulvaeus dan Agnetha Faltskog, serta Benny Andersson dan Anni-Frid Lyngstad.
-- BERNAMA