Anggota 4U2C, One II meninggal dunia akibat tibi
Astro Awani
Oktober 22, 2019 16:05 MYT
Oktober 22, 2019 16:05 MYT
SEKALIPUN nama 4U2C sudah lama tidak kedengaran namun, populariti kumpulan itu tidak pudar ditelan masa.
Generasi yang pernah membesar dengan lagu-lagu nyanyian 4U2C tentu sekali tidak akan lupa dengan tujuh anggota kumpulan itu.
4U2C yang masyhur dengan lagu Fiona dianggotai oleh AC Mizal (kini bergelar Datuk), Azam, Joe, Adik, Lan, Yanz dan Rin ketika muncul dengan album sulung pada 1993.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, 4U2C menyaksikan penarikan diri beberapa anggotanya menyebabkan kekosongan diisi oleh Adiex, Aren, Charlie dan One II.
Dan pada Selasa, kumpulan berkenaan dikejutkan dengan berita sedih pemergian One II ke rahmahtullah.
Allahyarham One II atau nama sebenarnya, Nirwan Irwan yang masih bujang meninggal dunia akibat penyakit tibi.
Pemergian One II dikongsi oleh AC Mizal di laman sosial peribadinya.
“Salam semua, baru dapat berita bahawa sahabat saya, ahli kumpulan 4U2C baru saja meninggal dunia, sedih teramat aku bro, dengan pemergian kau, teringat zaman 4U2C dulu,” tulis pengacara terkenal itu.
Dalam entri itu, AC Mizal turut mengajak orang ramai untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham rakannya itu.
“Allah lebih menyayangi kau, semoga kau ditempatkan bersama orang yang beriman, saya mohon kepada semua sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah, tenanglah kau di sana One 11,” tulis AC Mizal.
AC Mizal turut menarik perhatian netizen dengan memuat naik kulit album terakhir 4U2C dalam entri yang sama.
Suami kepada pelakon Datin Emylia Rosnaida itu juga berkongsi beberapa keping foto beliau ketika menziarahi One II di hospital semasa Allahyarham menerima rawatan.
Jenazah Allahyarham One II, 44, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Keramat, Hulu Kelang selepas solat Asar hari ini.