Angelina Jolie halang anak sambut Krismas bersama Brad Pitt?
Faris Danial Razi
Disember 21, 2019 17:19 MYT
Disember 21, 2019 17:19 MYT
MENJELANG musim perayaan, pastinya saat yang paling dinanti-nantikan buat seseorang ialah peluang untuk meluangkan masa bersama mereka yang tersayang.
Namun, sedikit berbeza kisah perayaan Krismas bagi anak pasangan Hollywood Angelina Jolie dan Brad Pitt yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pasangan pujaan ramai orang.
Sejak penceraian pada 2014, pasangan itu sering menjadi bahan bualan orang ramai kerana sering dikaitkan dengan isu-isu atau ‘perang dingin’.
Bagaimanapun, baru-baru ini keluarga Jolie sekali lagi menjadi perhatian selepas satu sumber rapat mendedahkan bahawa pelakon Maleficent itu telah menghalang anaknya daripada menghabiskan masa Krismas dengan ayahnya, Brad Pitt.
Pasangan Jolie dan Pitt mempunyai enam orang cahaya mata iaitu Maddox Chivan Jolie Pitt, Pax Thien Jolie-Pitt, Zahara Marley Jolie-Pitt, Shiloh Nouvel Jolie-Pitt, Knox Leon Jolie-Pitt dan Vivienne Marcheline Jolie-Pitt.
Bagaimanapun Pitt begitu akrab dengan anak perempuannya yang berusia 13 tahun, bernama Shiloh Nouvel Jolie-Pitt.
Dikatakan, Pitt dan anak perempuannya itu sering berjumpa dan juga menghitung hari untuk meraikan Krismas bersama-sama.
Susulan itu, Shiloh dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Jolie yang membuatnya berasa sedih.
Pada masa yang sama, sumber melaporkan bahawa Pitt juga bercadang untuk membawa Shiloh berjumpa dengan beberapa kenalan rapatnya semasa musim Krimas termasuk bekas isteri pertamanya, pelakon Jennifer Aniston dan teman wanita baharunya, Alia Shawkat.
Nampaknya segala perancangan buat Pitt musim Krismas ini terus tergendala dan terpaksa meraikan tanpa kehadiran anak-anaknya.