Angan-angan jadi kenyataan, Nas teruja ditawar watak Keluang Man

Asyraf Roslan
November 29, 2023 12:00 MYT
Nas seakan sukar untuk percaya yang dia terpilih menjayakan karakter animasi ikonik itu. - Foto Astro Shaw
KUALA LUMPUR: Daripada ratusan yang menghantar penyertaan, nama pelakon, Nas Muammar Zar akhirnya dipilih dan diberikan kepercayaan untuk memainkan watak Borhan atau Keluang Man terbitan Astro Shaw.
Seakan sukar untuk mempercayai namanya terpilih menjayakan karakter animasi ikonik itu, Nas mengakui, dia pernah menyimpan angan-angan untuk melakonkan watak adiwira.
“Saya membesar dengan menonton animasi Keluang Man… saya menontonnya sejak usia saya antara 12 hingga 13 tahun. Saya juga suka menonton filem superhero Marvel, DC, Batman dan bila tengok kita ada kita punya superhero sendiri saya rasa teruja.
“Kalau nak tahu saya ada suit (seragam) superhero di rumah untuk saya hiburkan anak-anak saya. Dan saya sendiri tidak sangka akhirnya saya akan memainkan watak Borhan ini sebab saya sendiri pernah berangan untuk memainkan watak superhero” katanya kepada media selepas selesai majlis pengumuman barisan pelakon Keluang Man.
Pelakon yang popular dengan siri Kita itu juga berkongsi bahawa pengarah filem memintanya menurunkan berat badan bagi menyesuaikan dengan karakter Borhan.
“Pengarah (Anwari Ashraf) suruh saya turunkan berat badan lagi, kena tone down sedikit sebab sebelum ini masa saya berlakon dalam Air Force badan saya sedikit besar selepas itu saya bawa pula watak bomba saya kecilkan sedikit. Jadi sekarang dia mahukan saya lean dan bukan bulky,” ujarnya.
Pada masa sama, Nas atau dahlu lebih dikenali sebagai Nas juga menyatakan bahawa dia bersedia untuk menerima kritikan daripada penonton dan peminat tegar siri animasi Keluang Man.
“Saya sedia menerima kritikan daripada penonton, mana yang membina saya terima dan semua orang ada pendapat masing-masing, saya pun tak boleh nak puaskan hati semua orang tapi saya akan cuba buat yang terbaik untuk filem ini,” tambahnya.
Dalam Keluang Man, Nas bakal digandingkan dengan pelakon utama lain seperti Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal dan Datuk Rosyam Nor.
BACA: Nas-T terpilih terajui Keluang Man
Filem ini bakal diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo serta pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip.
Astro Shaw kini dalam fasa pra-produksi dan sesi penggambaran dijangka bermula April 2024.
Sementara menantikan filem Keluang Man ditayangkan, peminat setia serta penonton generasi baharu boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com sekarang bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga.
Keluang Man memaparkan kisah seorang pesakit psikiatri, Borhan, yang menjadi adiwira bertopeng dalam membenteras jenayah.
Mula diperkenalkan pada era 90-an, Keluang Man berjaya mencipta fenomena tersendiri, selain dikenali sebagai antara animasi terawal karya anak tempatan.
Filem itu kini sedang menjalani proses pra-produksi dan dijangka memulakan penggambaran April tahun hadapan.
Ia dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 2025.
#Nas Muammar Zar #filem #Keluang Man #adiwira
;