Angah terpaksa undur diri daripada Sinar FM atas faktor kesihatan
Firdaus Azil
Julai 31, 2024 23:00 MYT
Julai 31, 2024 23:00 MYT
KUALA LUMPUR: Segmen Pagi Di Sinar mungkin kurang serinya selepas ini selepas salah seorang penyampainya, Angah, terpaksa melepaskan jawatannya sebagai penyampai radio di stesen Sinar.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Pengurus Jenama Sinar, Raja Nadia Salwana Raja Hisham berkata, keputusan itu terpaksa diambil atas faktor kesihatan yang disahkan oleh doktor, selepas menjalani beberapa sesi rawatan.
Raja Nadia berkata, keputusan itu wajar dihormati, meskipun ketiadaannya akan terus dirasai oleh semua krew penerbitan.
“Telatah dan keceriaan Angah sentiasa menghidupkan segmen pagi di Sinar, bersama rakan setugas lain iaitu Jep Sepahtu dan Rahim. Kami doakan agar Angah terus sihat dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya selepas ini,” kata Raja Nadia.
Dalam pada itu Sinar berkata, meskipun Angah masih terikat dengan kontrak dengan Sinar, namun dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau diberhentikan adalah tidak benar.
Pihak pengurusan juga menerangkan bahawa Angah tidak akan dikenakan penalti, memandangkan pengundurannya adalah disebabkan faktor yang munasabah, dan tidak dapat dielakkan.
“Kami di Sinar mengucapkan terima kasih kepada Angah di atas sumbangannya yang besar kepada stesen ini. Kami berharap pendengar setia Sinar akan terus menyokong stesen kami dengan menikmati lagu-lagu kesukaan anda!” menurut kenyataan itu lagi.