Andrea Bocelli buat persembahan tanda solidariti depani COVID-19
Agensi
April 13, 2020 21:10 MYT
April 13, 2020 21:10 MYT
PENYANYI tenor Itali terkenal, Andrea Bocelli mengadakan persembahan yang disiarkan secara langsung di YouTube sebagai tanda solidariti dunia mendepani wabak COVID-19.
Dalam persembahan bernama ‘Music For Hope' di Duomo Cathedral, Milan, Bocelli hanya ditemani seorang pemain organ.
Beliau menyanyikan beberapa lagu popular seperti Ave Maria dan Amazing Grace dengan tontonan mencecah 26 juta setakat ini.
Bocelli membuat persembahan itu atas jemputan Datuk Bandar Milan dengan tujuan membawa mesej solidariti kepada seluruh dunia.
“Terima kasih kepada muzik yang dapat disiarkan secara langsung, berjuta-juta orang dapat menonton persembahan ini di seluruh dunia dengan harapan keadaan kembali pulih seperti dahulu,” katanya.
Untuk rekod, Itali antara negara paling terkesan COVID-19 dengan lebih 156,000 kes jangkitan sementara jumlah kematian kini hampir mencecah 20,000 kes.