Anda kini boleh mendengungkan irama muzik pada YouTube Music untuk mencari lagu
Amanz
Mei 28, 2024 09:40 MYT
Mei 28, 2024 09:40 MYT
Percaya atau tidak, ketika saya memandu kadangkala saya masih mendengar radio dan tidak menggunakan telefon saya sebagai pengganti inforia.
Kadangkala selepas mendengar sesuatu lagu, saya akan lupa dan sukar untuk mencari semula kerana radio tiada sistem carian.
Terbaru, YouTube Music telah dikemas kini yang membenarkan pengguna mendengungkan irama muzik yang bermain di dalam fikiran untuk mencari lagu tersebut.
Ya, ciri ini adalah sama seakan yang ada pada Google Assistant sejak tahun 2020. Ia juga sama dengan ciri pada Shazam.
Ciri ini juga bukan perkara baharu kerana Google telah menguji kepada pengguna terpilih sejak tahun 2023 lagi.
Untuk menggunakannya, pada bar carian YouTube Music tekan ikon gelombang audio di sebelah mikrofon dan terus mendengungkan irama muzik yang bermain di fikiran.
YouTube Music akan terus mengeluarkan cadangan lagu yang sama iramanya.
Dalam cubaan saya, ciri ini adalah lebih bagus berbanding Shazam kerana ia berjaya mencari lagu dengan tepat tidak kira lagu berbahasa Melayu ataupun Inggeris.
Kekurangan pada ciri ini adalah ia tidak mempunyai cadangan lagu berbeza seperti Google Assistant yang memaparkan peratusan persamaan dengungan irama dengan lagu yang dicadangkan.
Ini bermakna anda perlu mendengungkan dengan tepat untuk mendapat hasil terbaik. -Amanz