'Anda istimewa' pesan Yuna dalam satu mesej penuh motivasi untuk peminatnya
Syafique Shuib
Mac 23, 2016 00:12 MYT
Mac 23, 2016 00:12 MYT
Penyanyi terkenal Yunalis Zarai, atau Yuna, terpanggil untuk berkongsi satu mesej penuh motivasi kepada para peminatnya, khususnya buat mereka yang masih muda.
Ini kerana penyanyi kelahiran Malaysia yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat banyak menerima soalan daripada peminat-peminat mudanya tentang penerimaan rakan-rakan, buli, kemurungan dan bagaimana untuk tidak mempunyai kemahuan untuk membunuh diri.
“Kepada peminat-peminat muda saya, anda dilahirkan ke dalam dunia ini atas banyak sebab. Untuk melindungi bumi ini, untuk menjaga keluarga anda dan orang lain, dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk berbuat baik. Anda begitu istimewa,” kongsi Yuna, yang kini popular dengan single 'Crush' yang menyaksikan beliau berkolaborasi bersama penyanyi terkenal Usher.
Tentang isu pembelajaran, beliau menyeru para peminatnya untuk menimba ilmu dan menggunakan pengetahuan itu untuk melakukan perubahan dan memastikan rakan-rakan yang lain turut mendapat peluang yang sama.
“Anda adalah pemimpin masa hadapan,” katanya.
Yuna turut menyentuh tentang soal cinta dan persahabatan.
“Kadang-kadang jatuh cinta dan putus cinta adalah salah satu cara untuk belajar bagaimana untuk menjaga diri anda sendiri.
“Jika seseorang yang anda cintai tinggalkan anda, ia bukan salah mereka, ia bukan salah anda. Ia mungkin sudah takdir. Kekosongan dalam jiwa anda boleh diisi dengan pelbagai cara. Mulakan perniagaan, bawa ibu-bapa anda bercuti, sertai kumpulan amal, main sukan, pergi ke kelas muzik atau tarian,” katanya lagi.
Menyentuh soal kemurungan, Yuna berharap peminatnya untuk mendapat bantuan, bawa berbincang masalah mereka bersama dengan seseorang atau berdoa.
"Berdoa, dan anda akan mendapat ketenangan.
“Percayalah, (kehidupan anda) akan menjadi lebih baik. Anda akan mencari kekuatan sebenar anda dan anda akan menyedari bahawa anda lebih kuat daripada apa yang anda sendiri sangkakan,” tulis Yuna.
Setakat ini, mesej berkenaan menerima sebanyak 3,325 perkongsian di Facebook.
Para peminat Yuna turut memuji tindakan penyanyi itu untuk memberikan motivasi kepada para peminatnya.
Mereka berkongsi tentang kepentingan untuk memberikan sokongan dan pertolongan antara satu sama lain.