"Anakku bekas banduan...." - luahan Erma Fatima mengenai anaknya

Siti Hajar Jamaludin
April 4, 2019 17:27 MYT
Erma Fatima menerima baik kepulangan anaknya walaupun dia seorang bekas banduan.
IBU mana yang tidak sayangkan anak. Senakal mana sekalipun si anak, hati kecil si ibu tidak akan mampu untuk membuang mereka dari kehidupan.
Itu yang dapat digambarkan mengenai kasih dan sayangnya pelakon dan pengarah ternama tanah air, Erma Fatima dalam luahan rasa di laman Instagram peribadinya.
Dalam entri terbaharunya, Erma berkongsi rahsia yang selama ini tidak diketahui umum.
Anak ketiganya, Ahmad Aifin, 21, pernah dipenjarakan sejak Mei 2016.
Sekalipun, kasih sayang dicurah, ilmu pendidikan dibekalkan kepada Ahmad Aifin, namun, dia diduga dengan ujian yang amat berat itu.
“Ini anak saya yang ketiga. Dari umur dia satu hari saya pelihara dia. Saya berikan yang terbaik semampu saya. Sekolah, agama, kasih sayang, meskipun banyak kekurangan saya.
“Berbagai dugaan saya terpaksa lalui untuk besarkan dia. Dan satu hari atas percaturan orang tertentu anak saya kembali ke pangkuan ayah kandungnya. Hanya Allah yang tahu betapa hancurnya hati saya ketika itu.
“Dan Mei 2016 saya mendapat berita dia ditangkap polis dan dipenjarakan,” kata Erma.
Entri yang dimuat naik sekitar dua jam lalu pada Khamis menarik perhatian hampir 100,000 orang di laman Instagram peribadinya yang mempunyai pengikut seramai 784,000 orang.
Dalam luahan itu, Erma berkata, kerana kecewa juga dia tidak sanggup untuk melawat anaknya di penjara walaupun sekali dan keluarganya menyangka dia tidak lagi dapat menerima kehadiran anaknya.
Namun, sangkaan itu meleset kerana hati kecil Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad tidak mampu untuk menafikan betapa kasih dan sayang pada Ahmad Aifin tidak pernah berkurang.
Kepulangan Ahmad Aifin ke rumah dari penjara disambut Erma dengan tangan terbuka.
“Semua di dalam keluarga saya menyangka saya dah buang dia dari hidup saya. Dan hari ini dia keluar dari penjara. Anak-anak saya yang lain jemput dia di penjara dan bawak pulang ke rumah.
“Semua takut saya tak terima dia. Apa pun saya masih ibu dia walaupun saya tidak melahirkannya walaupun dia tinggalkan saya, hancurkan hati saya tapi saya tetap ibu dia,” ujar Erma lagi.
Menurut Erma, dengan izin anaknya dia tidak malu berkongsi bahawa anaknya adalah seorang bekas banduan dan mahu berkongsi pengalaman ini bersama orang ramai.
“Saya cakap saya tak pernah malu memiliki anak yang dikurniakan Allah seperti apa pun dia kerana itulah dugaan paling besar dalam hidup saya yang saya terpaksa tempuh.
“Saya berkongsi semua ini bukan kerana saya mahukan simpati, saya mahu berkongsi dengan semua anak-anak muda di luar sana tentang realiti hidup.
“Saya mahu keluarga yg memiliki anak-anak seperti ini juga mendapat sedikit kekuatan dari cerita saya ini. Itu saja, nanti saya akan cerita lagi kenapa dan mengapa dia masuk penjara,” ujarnya lagi.
Turut memberi sokongan dan doa yang terbaik buat Erma adalah adiknya sendiri iaitu pelakon Datin Seri Umie Aida menerusi komen di Instagram.
#anak bekas banduan #Erma Fatima #Instagram #keluarga #Ummi Aida
;