"Anak yang ditatang, diiqamat sejak hari pertama.. masih perit" - Luahan rindu bapa Siti Sarah
Gempak
November 19, 2021 11:39 MYT
November 19, 2021 11:39 MYT
BAPA Allahyarham Siti Sarah, Raissuddin Hamzah merindui anak perempuannya.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram Sarah, satu hantaran beserta coretan sudah cukup menggambarkan perasaan sebak sang bapa apabila berada di pusara anak tercinta.
“Sedar tak sedar, genap 100 hari pemergian anak perempuan tersayang. Sebelum berlangsungnya majlis tahlil, pagi itu abahnya ke pusara naikkan batu nisan dikubur anaknya.
“Perasaannya? Hanya Allah sahaja yang tahu. Tanyalah semua manusia yang bergelar ibu bapa, apakah kehilangan paling perit untuk mereka?
“Pastinya kehilangan anak yang dicintai. Anak yang ditatang, diiqamat semenjak hari pertama, dibesarkan penuh kasih sayang, diberi makan pakai yang cukup.
“Diberi kebahagiaan, diubati jika sakit pening, dipeluk cium sebagai lambang kasih sayang, anak yang mengajar erti kehidupan.
“Jika boleh berganti nyawa, ibu bapa pasti mahu pergi dulu sebelum anak. Tapi siapa kita untuk melawan takdir?
“Semua rahsia Allah. Hidup perlu jalan terus, yang tinggal hanyalah memori indah kekal menjadi kenangan sampai bila-bila.
“Al-Fatihah Siti Sarah Raissuddin,” demikian nota yang tertulis pada hantaran itu.
Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU), HCTM, UKM pada 9 Ogos lalu akibat COVID-19.
Allahyarham meninggalkan suami, Shuib dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash, tiga bulan.
Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu melalui kaedah pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu tiga hari sebelum Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir.