Anak sulung pasangan Beckham mulakan kerja di kedai kopi

Astro Awani
Mei 22, 2014 12:24 MYT
Anak sulung pasangan Beckham kerja di kedai kopi
Walaupun mempunyai ibu bapa berstatus superstar, Brooklyn Beckham masih lagi perlu bekerja untuk mempunyai wang poket sendiri.
Menurut laporan beberapa portal hiburan antarabangsa, anak sulung pasangan David dan Victoria Beckham itu telah memulakan tugas di sebuah kedai kopi atau cafe di barat London.
Anak-anak Beckham: Brooklyn (kiri), Romeo (kanan) dan Cruz (tengah) bermain bersama-sama ketika menemani ayah mereka berlatih pada April tahun lalu. --AFP PHOTO / BERTRAND GUAY
Brooklyn menerima bayaran sekitar £2.60 (atau RM14.07) sejam kerana masih berusia di bawah 16 tahun di mana syarat gaji minimum tidak digunapakai.
Namun begitu, bayaran yang diterima Brooklyn itu dikatakan yang paling rendah bagi seseorang berusia antara 16 hingga 18 tahun dan tidak mempunyai pengalaman.
Syarat bagi peraturan bekerja bawah usia 15 tahun pula ialah dia tidak boleh bekerja lebih dari tujuh jam sehari dan perlu diberikan rehat setiap empat jam bekerja.
Satu sumber rapat dengan keluarga tersebut berkata kepada portal The Sun (UK), pasangan Bekcham itu mahu anak mereka belajar kesusahan untuk mencari wang sendiri dan mahu anak-anaknya mengenal erti kerja keras.
Keluarga Beckham ketika menghadiri sebuah majlis pada penghujung tahun lalu. -- AFP PHOTO / LEON NEAL
Dalam satu temubual, legenda bolasepak David pula berkata kepada portal London Evening Standard, mereka cuba memberikan contoh terbaik kepada anak-anak.
"Itulah antara salah satu kunci utama saya dan isteri selalu lakukan. Kami menguruskan segala-galanya kerana apa yang penting ialah anak-anak, dan bekerja keras adalah salah satu contoh yang terbaik untuk ditunjukkan kepada mereka,” ujarnya.
#Brooklyn Beckham #David Beckham #kedai kopi #Victoria Beckham
;