Anak Rembau ke Australia: Le Cordon Bleu Paris pilih Fazley Yaakob

Gempak
Disember 16, 2017 12:40 MYT
Dibawakan oleh Le Cordon Bleu (LCB) Paris dan Australia, program itu menyajikan pelbagai menu masakan Negeri Sembilan.
DATUK Fazley Yaakob telah dipilih untuk mengemudi program siri masakan atas talian, Anak Rembau Ke Australia.
Dibawakan oleh Le Cordon Bleu (LCB) Paris dan Australia, program itu menyajikan pelbagai menu masakan Negeri Sembilan.
Fazley yang merupakan pengasas SukaSucre Bistro itu berkata dia pernah ke LCB Sydney sebelum ini bagi melibatkan diri dalam kelas masakan Negeri Sembilan.
“LCB merasakan terdapat kekurangan cef yang memfokus masakan Asia Tenggara berbanding menu negara Cina, Thailand, Vietnam, Jepun dan Korea yang sudah lama popular di luar.
"Justeru, mereka meyakini bahawa saya boleh mula mempopularkan hidangan Melayu dengan resipi tempat kelahiran saya terlebih dulu kepada para pelajar LCB serta orang luar.
“Selain itu, saya menemui ramai pelajar dari Asia tidak tahu cara hendak kopek kelapa bagi mengeluarkan air dan isinya.
“Malah, ada yang tidak pernah memegang kelapa segar terutama mereka dari Hong Kong dan Cina,” katanya.
Anak Rembau Ke Australia ditayangkan sebanyak lima episod yang setiap satunya berdurasi kurang empat minit dengan menayangkan penggambaran di tiga buah negeri iaitu Adelaide, Sydney dan Melbourne.
Menariknya, LCB New Zealand, London, Paris dan seluruh Eropah termasuk Madrid serta Lebanon telah menjemput Fazley bagi mengadakan kelas masakan sama yang dijadualkan menjalani penggambaran tidak lama lagi.
Untuk menonton perjalanan Anak Rembau Ke Australia, peminat boleh melanggan dan melayari sekarang laman YouTube; http://youtube.com/fazleyyaakob dengan episod pertama (Adelaide) dimuat naik pada 15 Disember (hari ini) jam 8 malam.
Berkongsi perkembangan terkini, pelantun lagu Ketiadaan itu bakal muncul menerusi sebuah program masakan bersama cef lagenda, Martin Yan terbitan Asian Food Channel di samping program kulinari lain bercirikan fusion tempatan dan usai menamatkan pengajian kulinari keempat bagi pengkhususan pembuatan roti tradisional Perancis di LCB Paris baru-baru ini.
#Anak Rembau #Australia #Datuk Fazley Yaakob #LCB #Le Cordon Bleu #masakan #resipi #SukaSucre Bistro #tukang masak
;