Anak pengasas Live Aid, Bob Geldof meninggal dunia
Astro Awani
April 8, 2014 12:00 MYT
April 8, 2014 12:00 MYT
Pengasas Live Aid, Bob Geldof dan keluarga dirundung kesedihan diatas kematian anaknya, Peaches yang berumur 25 tahun, pada Isnin.
Bob Geldof atau nama sebenarnya, Robert Frederick Zenon "Bob" Geldof adalah penyanyi dan penulis lagu, pelakon dan aktivis politik.
Pihak polis telah dipanggil ke rumahnya di Kent, Tenggara England namun Peaches telah didapati meninggal dunia di tempat kejadian.
Pihak polis menganggap kematian Peaches sebagai kematian mengejut dan tiada mencurigakan.
Peaches yang juga merupakan ibu kepada dua orang anak lelaki, kehilangan ibu kandungnya, Paula Yates ketika usianya 11 tahun.
Di dalam tuitnya yang terakhir di Twitter, Peaches memuatnaik gambarnya bersama mendiang ibunya dengan tajuk ‘saya dan ibu’.
Peaches merupakan anak kedua dari pasangan Paula dan Bob.
Bob dalam satu komennya kepada media, menggambarkan kehilangan Peaches adalah satu kesedihan yang memeritkan.
“Peaches sudah tiada, kami sekeluarga amat sedih tidak terkata dengan kejadian ini.
“Dia adalah anak yang ceria, keletah, bijak dan gila-gila, kami sayangkan dia dan akan merinduinya sampai bila-bila” katanya kepada AFP.
Beberapa rakan artis seperti Ellie Goulding, Simon Cowell dan Sharon Osbourne antara yang terawal mengucapkan rasa simpati kepada Bob dan keluarga.