Anak Paul Walker terima pampasan kemalangan bapa RM39 juta
Nizam Bakeri
April 10, 2016 11:27 MYT
April 10, 2016 11:27 MYT
ANAK perempuan tunggal Paul Walker, Meadow, menerima pampasan bernilai AS$10.1 juta (RM39 juta) melalui satu perintah mahkamah berkenaan kemalangan maut yang menimpa bapanya pada tahun 2013.
Bayaran pampasan tersebut dibayar dari harta milik mendiang Roger Rodas, rakan bapanya yang juga merupakan pemandu kereta ketika kemalangan tersebut berlaku, lapor TMZ.
Rodas juga terbunuh dalam kemalangan apabila Porsche Carrera GT yang dipandunya terbabas melanggar pokok dan terbakar di Santa Clarita, California pada Disember 2013.
Menurut peguam Meadow, Jeff Milam, pampasan tersebut dituntut kerana Rodas turut dianggap bertanggungjawab menyebabkan kemalangan itu berlaku.
Milam bagaimanapun mendakwa jumlah pampasan yang diterima kecil berbanding jangkaan pendapatan yang mampu diterima Walker sebagai bintang filem terkemuka.
Ketika kematiannya, Walker sedang menjalani penggambaran Furious 7, filem ketujuh francais Fast & Furious yang berjaya meraih $1.5 bilion (RM5.9 bilion).