Anak lebih popular, Tomok tak kisah

Gempak
Oktober 29, 2014 11:06 MYT
TOMOK: Saya tak kisah bila ada yang kata Arrian lebih popular daripada saya, malah sebagai seorang ayah saya bangga. - Sumber Astro Gempak
Penyanyi Tomok tidak kisah sekiranya anak lelakinya Arrianshah Akid menjadi lebih popular daripadanya, malah berasa gembira tentang perkara tersebut.
Tomok berkata, dia juga menyedari tentang perkara itu kerana setiap kali memuat naik foto Arrrian di akaun Instagram, ia pasti mendapat ‘like’ yang banyak.
“Saya tak kisah bila ada yang kata Arrian lebih popular daripada saya, malah sebagai seorang ayah saya bangga.
“Seronok juga bila saya kongsikan foto Arrian di Instagram, saya lihat jumlah ‘like’nya pasti mencecah lebih 20 ribu,” katanya kepada Astro Gempak.
Tomok ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Album terbarunya di Hard Rock Café pada Isnin memberitahu, sungguhpun begitu dia tidak berhasrat untuk melibatkan anaknya dalam bidang seni.
“Saya dan isteri kalau boleh tidak mahu terlalu mendedahkan anak kami dalam bidang hiburan kerana mahu dia menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak lain.
“Ada juga tawaran yang datang untuk Arrian, tetapi kami tolak dengan baik dan mereka faham dengan keputusan kami,” katanya.
Tambah Tomok, antara tawaran yang diterima oleh Arrian adalah daripada produk yang mahu mengambilnya sebagai model iklan dan duta.
“Sebelum ini ada perbincangan mengenai perkara tersebut namun ia tergendala di tengah jalan,” ujarnya.
Selain itu, Tomok turut berkongsi perkembangan mengenai program bual bicara kendalian Oprah Winfrey yang diterimanya sebelum ini.
“Kami sudah membalas e-mel daripada mereka tetapi tidak ada maklum balas sehingga hari ini. Bagi Tomok, ia bukanlah satu kerugian malah kami berbangga kerana video tersebut telah menarik minat ‘orang luar’ untuk melihat adat yang dijalankan di negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Tomok juga mengakui tidak sabar menantikan kehadiran anak kedua mereka yang dijangka dilahirkan pada Februari depan.
#anak #Arrian #Facebook #Hard Rock Caf #Tomok
;