Anak Kris Dayanti selamat bertunang, lamaran disiarkan secara langsung

Astro Awani
Mac 14, 2021 10:31 MYT
Aurel Hermansyah selamat bertunang bersama pasangannya Atta Halilintar. - Foto Instagram/@aurel_attahalilintar
ANAK kepada penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti, Aurel Hermansyah selamat bertunang bersama pasangannya Atta Halilintar.
Majlis pertunangan yang berlangsung pada Sabtu itu disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen Indonesia, RCTI.
Majlis yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat itu berlangsung di Hotel Intercontinental, Jakarta.
Memetik laporan media tempatan, Atta atau nama sebenarnya Muhammad Attamimi Halilintar, 27, membuat lamaran secara terbuka terhadap Aurel di hadapan ahli keluarga lain.
“Saya Atta ke sini untuk melamar anak Bapak Anang, Ibu Ashanty dan Mimi KD (Kris Dayanti).
“Saya secara peribadinya mempunyai banyak kekurangan. Dari sudut hati yang paling tulus, semoga lamaran saya diterima,” ucapnya sebelum menyerahkan sejambak bunga kepada Aurel.
Selepas selesai sesi lamaran, pasangan yang mengenakan persalinan sedondon serba ungu itu saling menyarung cincin antara satu sama lain.
Difahamkan pasangan itu bakal melangsungkan pernikahan pada 21 Mac depan.
Untuk rekod, Aurel, 23, merupakan anak sulung kepada Kris Dayanti bersama bekas suaminya yang juga komposer dan penyanyi, Anang Hermansyah.
#Indonesia #Jakarta #keluarga #pertunangan #KRIS DAYANTI #Aurel Hermansyah #Atta Halilintar
;