Anak Erra Fazira, Engku Aleesya suka dengan imej terbaru ibunya

Gempak
Jun 4, 2015 17:36 MYT
Dalam pada itu Erra menegaskan perubahannya itu tidak ada kena mengena dengan dakwaan dia mahu berkahwin. - Gambar HLive

Anak tunggal Erra Fazira, Engku Aleesya gembira dengan imej terbaru ibunya kini yang sudah mula bertudung penuh.

Pengacara Primadona itu berkata, dia ada bertanyakan tentang imej terbarunya (bertudung) kepada Aleesya dan kanak-kanak itu gembira dengan perubahan tersebut.
“Kelmarin (Selasa) ketika hari pertama saya bertudung, sebelum menghantar Aleesya ke sekolah saya ada bertanya kepadanya mengenai penampilan terbaru saya.
“Dia suka…Begitu juga dengan ibu saya yang turut memberikan reaksi sama,” katanya.
Bercerita mengenai penghijrahannya itu, Erra memberitahu dia sudah lama pasang niat untuk bertudung tetapi hasrat tersebut tertangguh kerana beberapa sebab.
“Sebelum ini hati sudah kuat mahu bertudung, cuma kadangkala ada banyak alasan membuatkan niat itu tertangguh.
Bagaimanapun, pada malam Nisfu Syaaban Isnin lalu, saya berdoa semoga ditetapkan niat dan keesokan harinya saya terus memakai tudung,” ujarnya dalam satu laporan Harian Metro.
Dalam pada itu Erra menegaskan perubahannya itu tidak ada kena mengena dengan dakwaan dia mahu berkahwin.
“Saya tidak suka melakukan sesuatu kerana orang lain. Seperti apa yang saya buat sekarang keputusan untuk bertudung adalah atas niat sendiri tanpa tekanan dari sesiapa,” katanya yang turut menafikan gosip mengatakan dia bakal berkahwin tahun ini.

#Engku Aleesya #Erra Fazira #nisfu syaaban
;