'Anak ditutup mulut dengan kain, ditampar serta disepak berulang kali' - Ani Mayuni
Gempak
Mac 13, 2019 15:12 MYT
Mac 13, 2019 15:12 MYT
PENYANYI Ani Mayuni mengakui sukar tidur malam apabila mengenangkan nasib anaknya, sulungnya, Wirda Viviana Zairi yang dibuli ketika tinggal di asrama sebuah sekolah di Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Menurut laporan Harian Metro, Ani menjelaskan anak perempuannya didera sekumpulan pelajar gara-gara enggan menceritakan kisah peribadi selepas bertemu ibu bapa saudaranya di sekolah berkenaan.
"Saya tidak boleh tidur malam apabila mengenangkan keadaan anak yang ditutup mulut dengan kain dan ditampar serta disepak berulang kali oleh beberapa pelajar senior.
"Andai sesuatu buruk terjadi kepadanya pada malam kejadian, saya tidak akan maafkan mereka.
"Selepas beberapa kali memujuk berkongsi masalah yang dihadapi, barulah dia buka mulut. Dia memberitahu ada lapan pelajar senior mahu mengetahui mengapa ibu dan bapa saudaranya datang ke sekolah.
"Apabila dia enggan bercerita, pelajar senior itu mengugut mahu memukulnya. Takut dengan ugutan itu dia pun bercerita tetapi pelajar senior itu masih tidak berpuas hati dan mempercayainya. Mereka menendang dan menumbuk pinggang anak saya, menampar muka serta pukul dada.
"Luluh hati saya ketika melihat badan anak penuh dengan kesan lebam. Tergamak mereka buat begitu hanya kerana tidak puas hati," katanya.
Menurutnya, lebih memilukan hati apabila mulut anaknya ditutup dengan kain bagi mengelakkan warden mendengar jeritannya.
"Apabila Wirda menangis kesakitan, mereka menutup mulutnya dengan kain. Sebagai ibu, saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan dia ketika itu.
“Saya sudah buat laporan di Balai Polis Setapak dan mendapatkan laporan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu. Doktor mengesahkan ada lebam di badan dan pinggangnya cedera.
“Sebenarnya anak saya dibuli sejak tingkatan satu lagi tetapi tidak seteruk ini. Kali ini, saya tak boleh berdiam diri. Laporan polis perlu dibuat demi keselamatan anak yang kini trauma," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
#Ani Mayuni
#artis tempatan
#cedera
#dera
#karier
#keselamatan
#kesihatan
#pelajar
#sekolah asrama
#selebriti