Anak Chef Wan, Serina kembali bergelar isteri
Astro Awani
April 9, 2021 21:00 MYT
April 9, 2021 21:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ramadan yang bakal menjelma beberapa hari lagi pastikan memberi kebahagiaan berbeza buat pelakon Serina Redzuawan yang kembali bergelar isteri, pada Jumaat.
Menerusi hantaran di Instagram, Serina memaklumkan majlis pernikahan dengan jejaka yang dikenali dengan nama Aidid, berlangsung secara tertutup dan berjalan seperti yang direncanakan.
"Dengan penuh kesyukuran saya nak umumkan saya dah selamat mendirikan masjid bersama suami dan majlis nikah kami secara tertutup sahaja.
"Alhamdulillah selesaikan yang wajib dahulu. Dialah yang terbaik yang Allah kirimkan untuk menjadi imam dan khalifah dalam keluargaku," tulis Serina.
Serina juga bersyukur pernikahan keduanya mendapat restu bapa tersayang, Datuk Chef Wan.
"Terima kasih papa restui perkahwinan kami, insya Allah lepas raya kita buat kenduri doa selamat dan makan di restoran papa ya," katanya.
Serina sebelum ini pernah berkahwin dengan Gavin Edward O'Luanaigh pada 2010, namun perkahwinan itu berakhir pada 2017.
Mereka mempunyai sepasang cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10.