Anak bertunang, Sheila Majid kongsi berita gembira bakal sambut menantu

Asyraf Roslan
Disember 21, 2020 20:12 MYT
Megat Abdul Majid Aziz selamat melangsungkan pertunangan bersama pasangan pilihannya pada Isnin. - Foto Instagram Sheila Majid
KUALA LUMPUR: Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya bahagia.
Itulah yang dapat digambarkan penyanyi tersohor negara, Datuk Sheila Majid apabila beliau berkongsi berita gembira tentang majlis pertunangan anak keduanya, Megat Abdul Majid Aziz.
Sheila, yang sinonim dengan lagu Sinaran dan Lagenda itu, memuat naik beberapa keping gambar dan video di laman Instagramnya pada Isnin.
Menerusi kemas kini itu, Sheila menyatakan bahawa majlis pertunangan itu adalah penutup gembira bagi tahun 2020 buat dirinya dan keluarga.
Majlis pertunangan itu dijalankan dalam suasana sederhana dan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pasangan.
Laman Instagram Sheila turut dibanjiri dengan ucapan tahniah dari rakan-rakan artis tempatan dan seberang.
Antara selebriti yang turut berkongsi kegembiraan termasuk pelakon Fazura dan Elaine Daly serta selebriti Indonesia, Krisdayanti, Marcell dan Tohpati.
Megat merupakan anak kedua Sheila daripada perkahwinan pertamanya dengan penerbit, Roslan Aziz.
Perkahwinan kedua Sheila bersama pengarah dan penggubah muzik, Datuk Hashridz Murshim Hassim (atau lebih popular dengan panggilan Acis), mereka dikurniakan dua cahaya mata Khadeja Zaireen, 16 dan Khalefa Laila Murshim, 14.
#Datuk Sheila Majid #Megat Abdul Majid Aziz #Bertunang #Roslan Aziz #Instagram
;