Anak, bekas isteri Fizo Omar positif COVID-19
Astro Awani
Januari 5, 2021 16:39 MYT
Januari 5, 2021 16:39 MYT
KUALA LUMPUR: Hati ayah mana yang tidak risau dan gundah apabila mendapat berita anak kesayangan disahkan positif COVID-19.
Itulah yang sedang dirasakan oleh aktor dan usahawan terkenal, Fizo Omar yang berkongsi berita duka itu pada Selasa.
Kata Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 35, anaknya, Wan Maryam yang berusia tiga tahun disahkan positif COVID-19, sejak 1 Januari lalu.
Turut disahkan positif pandemik itu ialah bekas isteri Fizo, Mawar Abdul Karim.
Artis kelahiran Kelantan itu berkata, Wan Maryam dan Mawar kini sedang menerima rawatan di hospital yang tidak didedahkan lokasinya.
“Dengan berat hati dan penuh rasa tanggungjawab, saya nak maklumkan bahawa anak saya Wan Maryam dan bekas isteri saya, Mawar disahkan positif COVID-19 sejak 1 Januari dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
“Syukur Alhamdulillah keadaan mereka stabil,” kata Fizo dalam hantaran di Instagram peribadinya pada Selasa.
Fizo juga memberitahu, keputusan ujian saringan COVID-19 yang diambilnya pada Isnin bagaimanapun, mengesahkan dia bebas daripada wabak berkenaan.
“Saya telahpun menjalani ujian calitan pada 2 Januari dan Alhamdulillah keputusannya adalah negatif,” katanya.