Anak Azmi Caliph Buskers meninggal dunia, dipinjamkan Allah untuk tiga hari
Astro Awani
September 30, 2021 13:51 MYT
September 30, 2021 13:51 MYT
KUALA LUMPUR: Isnin lalu, penyanyi Caliph Buskers, Azmi Saat dan isteri, Nazira Muhammad merai penuh kesyukuran kehadiran cahaya mata lelaki Khairul Afnan.
Kegembiraan tidak mampu dibendung mereka kerana pasangan itu menunggu selama sedekad untuk menimang cahaya mata sulung.
Namun, sejam lalu, Azmi mengumumkan, bayi yang lahir dengan berat 3.3 kilogram itu sudah dijemput oleh Yang Maha Esa.
“Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga ya…” itu nota pengumuman yang ditulis di akaun Instagramnya.
Berita duka yang dikongsi Azmi itu mendapat perhatian ramai terutama rakan-rakan artis yang meluahkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Khairul Afnan.
Antara yang menurunkan komen ialah penyanyi terkenal, Syamel yang mendoakan Azmi diberi kekuatan dalam menerima ujian Allah.
"Innalillahiwainnalillahirajiun. Salam takziah Azmi. Semoga anak awak menjadi satu jalan mudah untuk awak dan isteri bersama di dalam syurga nanti saya dan Ernie doakan. Saya doakan awak dan isteri diberi kekuatan menerima ujian daripada Allah," tulis Syamel yang juga bakal bergelar bapa selepas isterinya, Ernie Zakri disahkan hamil.
Penyanyi Wani Hasrita juga turut menitipkan salam takziah buat Azmi serta menulis bahawa cahaya mata Azmi menanti mereka di syurga.
Sebelum itu Azmi, 34, memaklumkan, cahaya mata dia dan Nazira, 35, diuji selepas doktor mengesahkan Khairul Afnan kurang sihat sehingga terpaksa menerima bantuan pernafasan
Sehubungan itu, Azmi memohon semua pihak agar mendoakan kesembuhan segera buat anaknya itu.
"Mohon tolong doakan Afnan. Afnan tak sihat. Kami sedang diuji. Allah mudahkan urusan kami waktu proses mengandung, tapi sekarang Allah nak uji kami.
"Allah mudahkan proses bersalin, tapi sekarang Allah nak uji kami. Allah letakkan rasa teruja dalam hati kami, tapi sekarang Allah nak uji kami.
"Itulah Allah pemilik sekalian alam. Dia yang maha merancang dan maha mengetahui segalanya.
"Mungkin ada antara kalian yang Allah makbulkan doanya. Tolong doakan moga Afnan sihat dan Allah berikan yang terbaik buat kami. Apa pun yang berlaku, kami reda dengan ketentuan takdirNya," tulis Azmi.