Anak Ali Puteh meninggal dunia

Gempak
November 26, 2019 14:00 MYT
Ali dan isterinya, Melati redha dengan pemergian anak mereka, Sharifah Ainul Nur Mardiah.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban.

Demikian perasaan yang sedang dilalui pelawak terkenal, Ali Puteh yang kehilangan anak perempuannya, Sharifah Ainul Nur Mardiah sekitar pukul 11.30 pagi Selasa.
Berita duka itu dikongsi Ali di laman Instagram peribadinya.
Sebagai ayah, Ali tidak mampu membendung kesedihan pemergian puteri keduanya itu.
Ali berkata, dia dan isteri Melati redha dengan pemergian anak syurga itu.
“Saya dan Melati tak kuat, tapi kami sudah redha dan bersedia untuk hari ini.
“Sejak Jumaat lalu doktor sudah beritahu tentang kondisi Ainul yang bergantung dengan mesin bantuan pernafasan,” katanya.
Sharifah Ainul dipinjamkan oleh Allah buat ayah dan ibunya selama lebih dua bulan sebelum kembali kepada Yang Maha Esa.

Allahyarham Sharifah Ainul mengalami masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang sejak bayi itu dilahirkan pada 6 Ogos lalu.
Bayi itu yang pernah menjalani pembedahan pada 11 November lalu, bagaimanapun disahkan mengalami komplikasi paru-paru susulan itu.
Melihat Sharifah Ainil bersemangat untuk meneruskan hidup dengan melawan penyakit benar-benar menyentuh hati Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan.
“Sepatutnya doktor cabut mesin bantuan pernafasan pada Jumaat lepas tetapi Ainul buka mata, aktif dan memberikan reaksi positif.
“Doktor pun dah mula gembira, tetapi apabila mesin dicabut Ainul tidak bernafas. Paru-parunya hanya berfungsi 20 peratus.
“Dan satu lagi pembedahan dilakukan dan doktor beritahu hari Isnin mesin akan ditanggalkan dan memintan saya serta isteri redha dengan apa jua kemungkinan.
“Ainul mahu bersama kami walaupun hanya dua bulan...,” katanya menahan sebak.
Smentara itu, dalam entri terbaru, Ali memaklumkan jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak selepas solat Asar pada Selasa.

#anak Ali Puteh meninggal dunia #injap jantung terbalik #komplikasi paru--paru #Sharifah Ainul Nur Mardiah
;