Anak Achey berjaya jual 3,000 pek gula-gula dalam tempoh dua jam
Sinar Harian
Ogos 25, 2023 16:00 MYT
Ogos 25, 2023 16:00 MYT
SEJUMLAH 3,000 pek gula-gula sold out dalam masa dua jam, pelawak Achey dan isteri bersyukur bisnes anak mereka, Tiara mendapat sambutan menggalakkan.
Berniaga menerusi platform TikTok Shop milik bapa, Nur Tiara Zinnirah yang baharu berusia lima tahun menjual Tiara Bottol Candy iaitu makanan ringan pelbagai jenis.
Terkejut dengan sokongan netizen dan kurniaan rezeki buat cahaya mata mereka, Achey dan isteri, Nor Hasanah Yahaya atau Anne menitipkan syukur.
“3,000 pek terjual dalam masa dua jam. Alhamdulillah, produk pertama Tiara, Tiara Bottol Candy meledak.
“Terima kasih semua yang support Tiara. Rezeki dia, Alhamdulillah syukur ya Allah,” titip Anne.
Achey mendedahkan idea jualan makanan ringan tersebut adalah idea anaknya.
Pelawak berusia 37 tahun itu terharu dengan sokongan daripada warga maya dan mengharapkan perniagaan menjadi pelajaran dan medium buat si kecil itu mengutip pengalaman.
“Rezeki apakah anak ini, Tiara Zinnirah? Tiara dia sedikit perlahan dalam pembelajaran tetapi ayah dan mama yakin Tiara mampu menimba kepelbagaian ilmu dan pelajaran serta pengalaman.
“Idea dan cadangannya saya tidak pernah ambil remeh agar dia mencuba apa sahaja yang baik.
“Dek kerana dia tengok video dari seberang, orang meniaga coklat Dubai. Selama dua hari dia tekan ayah untuk dia buat perniagaan yang sama, tapi jual #tiarabottolcandy sebab ayah tak mampu nak beli berkotak-kotak coklat Dubai.
“Candy itu dari pasaran kita sahaja. Cuma susahnya, perlu beli jumlah yang banyak dan pelbagai jenis kerana hendak dicampur di dalam satu pek,” kongsi Achey.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian