Amylea berhijab demi hormati Ramadan, mahu perbaiki diri dahulu

Astro Awani
April 16, 2021 17:52 MYT
Amylea akui bertudung sebagai menghormati kedatangan Ramadan kali ini. - Foto Instagram/Amylea Azizan
PENYANYI berbakat, Amylea Azizan yang kelihatan memakai tudung baru-baru ini akui berbuat demikian sempena menghormati kedatangan Ramadan kali ini.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Kendati ini percaya aspek dalaman lebih penting dan harus diutamakan sebelum menjaga imej luaran.
"Sebenarnya saya berhijab menghormati Ramadan kali ini, saya percaya pakai tudung memang satu tanggungjawab yang besar.
"Jadi, pendapat peribadi saya, kita seharusnya memperbaiki sebetulnya dalaman sebelum memperbetulkan luaran, pakai tudung itu bagi saya satu perkara akhir selepas kita cuba memperbaiki diri sebaiknya.
"Kalau pakai tudung tapi masih tidak menutup aurat dengan sempurna macam tak guna juga, saya bukan menilai sesiapa, jadi saya harap orang tak menilai saya.
"Saya bertudung pada bulan Ramadan kerana pada bulan inilah saya akan lebih fokus untuk menjaga aspek dalaman, jadi eloklah saya menjaga luaran saya juga," katanya.
Tambah Amylea, ahli keluarganya tidak terkejut dengan penampilannya itu. Dia juga tidak berasakan memakai tudung satu perkara yang mencabar.
"Ahli keluarga tiada yang terkejut pun kerana mereka mengenali saya secara dekat.
"Tidaklah mencabar untuk saya berhijab kerana baju-baju yang saya ada pun sesuai digayakan dengan tudung, jadi ia senang untuk saya," jelasnya.
Dalam pada itu, Amylea mengatakan pergaulannya bersama rakan-rakan yang positif dan menjaga ibadah menjadi pendorong untuk dia cuba memperbaiki diri.
"Saya bersyukur sebab sebenarnya saya terpengaruh dengan kawan-kawan saya yang sangat positif, saya lihat walaupun ada yang mengkritik mereka cakap itu ini, tapi mereka jaga agama lagi bagus daripada orang yang mengata mereka.
"Sebab itu saya rasa terpengaruh dengan mereka, sebelum bulan puasa pun mereka sentiasa menjaga bab agama.
"Mungkin ada yang melihat mereka suka berfesyen dan macam-macam lagi, tapi setiap hari mereka lakukan solat Tahajud dan Dhuha.
"Saya mahu jadi seperti mereka tapi saya tahu saya belum cukup baik untuk jadi begitu, cuma saya bersyukur sudah setahun saya istiqomah dalam bersikap positif," katanya lagi.
Apa yang penting bagi penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga ini, orang ramai tidak seharusnya menilai seseorang berdasarkan imej semata-mata.
"Bab ini, saya tak mahu orang befikir kalau dah pakai tudung boleh dikatakan mulia dan hebat, ia bukan begitu.
"Kadang-kadang kita kena lihat diri sebenar seseorang itu, boleh jadi orang yang kurang menepati imej Islam itu lebih baik dari kita.
"Janganlah sewenang-wenang menilai orang berdasarkan imej semata-mata, jangan sesuka hati meninggalkan komen negatif kepada orang lain, kalau seseorang itu dah baik, dia akan cuba juga cara untuk memperbaiki diri," katanya menutup bicara.
Layari gempak.com untuk lebih banyak berita hiburan menarik, dalam dan luar negara.
#Amylea Azizan #Ramadan #tudung #berhijab #hiburan #puasa #Amylea #Amylea berhijab
;