American Idol persembahkan semula 'We Are The World', pertama kali dalam 35 tahun

Agensi
Mei 16, 2020 07:32 MYT
Lionel Richie, yang bersama-sama menulis lagu dengan mendiang Michael Jackson, Katy Perry dan penyanyi country Luke Bryan akan mempersembahkannya pada Ahad. REUTERS
LAGU bertema amal dan kemanusiaan, “We Are The World”, yang sebelum ini dihasilkan sebagai tribut bagi memperingati nasib warga Afrika, bakal dipersembahkan semula selepas 35 tahun di pentas American Idol pada hujung minggu ini dengan penampilan daripada bintang-bintang program tersebut.
Juri program Lionel Richie, yang bersama-sama menulis lagu itu dengan mendiang Michael Jackson, akan mempersembahkannya bersama Katy Perry dan penyanyi ‘country’ Luke Bryan pada Ahad bersama-sama bekas bintang dan pemenang rancangan American Idol.
Menurut laporan portal ABC, ia akan menjadi persembahan televisyen pertama dalam 35 tahun selepas pelancaran lagu itu, yang pada asalnya ditulis untuk mengumpulkan wang bagi beri bantuan mangsa kebuluran Afrika.
Lagu itu diingati kerana menampilkan bintang tersohor termasuk Jackson, Diana Ross, Billy Joel, Bruce Springsteen, Stevie Wonder, Bob Dylan dan banyak lagi pada tahun 1985.
Penyanyi yang akan beraksi pada Ahad ini adalah termasuk alumni "Idol" iaitu Fantasia, Jordin Sparks, Katharine McPhee, Kellie Pickler, Lauren Alaina, Ruben Studdard dan Scotty McCreery serta 11 finalis teratas dari musim terkini.
Pertandingan nyanyian itu akan menobatkan pemenang tahun ini secara siaran langsung, selepas hanya menghasilkan produksi rakaman dari jarak jauh sejak pertengahan Mac ketika industri penyiaran dan perfileman tidak dibenarkan beroperasi di seluruh Amerika Syarikat susulan COVID-19.
Dalam pada itu, Richie memberitahu bahawa dia telah "ditanya 1,001 kali" sama ada dia akan menulis lagu lain untuk mengabadikan krisis COVID-19.
"Jawapan saya adalah, sememangnya lirik yang saya tulis untuk lagu baharu ada dalam lagu lama," katanya kepada hos rancangan bual bicara televisyen, Jimmy Kimmel, minggu ini.
"Liriknya berfungsi dengan sempurna," tambahnya, merujuk pada baris seperti 'We're saving our own lives' (Kita menyelamatkan nyawa kita sendiri).
Ditanya mengapa dia menginginkan lagu itu dinyanyikan oleh keluarga American Idol, Richie memberitahu Billboard pada Jumaat: "Kami telah melakukan uji bakat terhadap semua bintang itu dan ia adalah satu pengalaman bersejarah.
"Anak-anak ini memberi inspirasi kepada saya dengan bakat mereka dan mereka mencerminkan kepelbagaian dunia," kata Richie lagi.
#American Idol #Amerika Syarikat #AS #COVID-19 #idol #Katy Perry #Lionel Richie #Michael Jackson #program ujibakat nyanyian
;