American Idol anugerahkan pemenang terakhir
Kohilah Sekaran
April 8, 2016 16:06 MYT
April 8, 2016 16:06 MYT
PROGRAM realiti "American Idol" menamatkan musim terakhirnya hari ini dengan satu kemenangan yang tidak dijangka.
Trent Harmon, 25, dari Mississippi, Amerika Syarikat memenangi gelaran tersebut dengan menewaskan pesaingnya La' Porsha Renae, 22, dalam acara kemuncak musim ke-15.
Kemenangan itu nyata mengejutkan rata-rata penonton kerana La' Porsha dilihat sebagai pemenang berpotensi bagi gelaran tersebut.
Susulan itu, netizen mula berdebat di media sosial. Ada yang menyokong kemenangan Trent, dan ada yang tidak.
Pelbagai pandangan dan kritikan dilahirkan menerusi hashtag #IdolFinale.
Mereka juga menggunakan laman Twitter untuk mengenangi program realiti itu serta melahirkan rasa sedih susulan penamatan "American Idol".
Diacarakan oleh Ryan Seacrest, acara kemuncak American Idol turut menampilkan beberapa persembahan daripada bekas pemenang dan finalis, seperti Carrie Underwood, Jordin Sparks dan Fantasia.
Bekas juri, Simon Cowell turut menyertai acara kemuncak musim terakhir ini yang diadakan di Dolby Theater, Hollywood.
Para penonton amat teruja dengan penampilan mengejutkan oleh tiga bekas juri American Idol, Simon Cowell, Randy Jackson dan Paula Abdul.
Tiga bekas juri itu memberi penghormatan terakhir serta mengucapkan terima kasih kepada para penonton atas sokongan mereka sejak program itu dilancarkan.
Sepanjang ke-15 musim ini, American Idol telah melahirkan ramai penyanyi berkelas A, antaranya Kelly Clarkson, Carrie Underwood dan Jordin Sparks.
Musim kedua rancangan tersebut yang bersiaran pada tahun 2003, menjadi musim paling berjaya apabila mengumpul lebih 38 juta penonton.
#American Idol
#Paula Abdul
#Program Realiti
#Randy Jackson
#Ryan Seacrest
#simon cowell
#Trent Harmon