Amelina akui kekok kembali ke studio

Azyyati Ahmad
Disember 9, 2014 20:08 MYT
Ketika kunjungannya, Amelina sempat bergambar bersama Eksekutif Editor Astro AWANI, Razak Chik
Selepas menghilangkan diri selama 15 tahun dari persada seni, penyanyi Amelina mengakui pada mulanya dia berasa kekok kembali ke studio rakaman.
Bagaimanapun, Amelina yang suatu masa dahulu pernah digelar ratu dangdut Malaysia berkata dengan tunjuk ajar dari komposer/penyanyi Ajai dan isteri, perasaan kekok itu hilang tiba-tiba.
“Saya kekok bila masuk ke studio rakaman dan bekerja dengan Ajai, kemudian lama kelamaan saya selesa.
“Ajai dan Kak Liza (PA) banyak membantu dalam memberikan tunjuk ajar. Saya kini bagai bertatih semula ke bidang ini” kata Amelina ketika kunjungannya ke Astro AWANI.
Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin bakal muncul dengan lagu popularnya "rindu" yang diberi nafas baru dengan genre 'progresif etnik' Januari ini.
Setelah menghilang dari persada seni selama 15 tahun, kemunculan semula Amelina yang kini berusia 40 tahun bagai memberi satu gelombang baru buat irama dangdut.
Gembira dengan sambutan peminat, amelina dalam masa yang sama tidak menyangka ramai yang merindukannya.
"Bila tengok di Instagram, ramai betul yang memberikan komen positif.
“Ada juga yang tag kawan-kawan ‘ingat tak lagu ni’ dan saya rasakan kemunculan semula saya di industri seni seolah-olah mengimbau kenangan dan saat dulu peminat" katanya.
Namun Amelina turut berasa sedih apabila masih ada stesen radio yang terikat dengan format – tidak boleh memainkan lagu berirama dangdut.
Kata Amelina, genre dangdut adalah merupakan satu cabang muzik yang ada peminatnya yang tersendiri.
"Bagilah peluang,bukan peluang pada kaklin, bukan pada artis dangdut tetapi peluang kepada muzik ini, kerana muzik ini adalah istimewa sebenarnya" katanya mengakhiri bicara.
#Ajai #Amelina #rindu
;