Amber Heard bayar saman, Johnny Depp derma semua pada rumah kebajikan
Gempak
Jun 17, 2023 14:22 MYT
Jun 17, 2023 14:22 MYT
SETELAH setahun berlalu, Amber Heard akhirnya melangsaikan jumlah saman yang perlu dibayar selepas kalah dalam kes fitnah ke atas mantan suaminya, Johnny Depp.
Heard dilaporkan media tempatan telah membayar sebanyak RM4.6 juta seperti yang diarahkan oleh mahkamah kepada Depp.
Dan sebagai balasan, Depp langsung tidak mengambil duit saman tersebut sebaliknya menyerahkan kesemua RM4.6 juta yang diperoleh hasil kes tersebut kepada rumah kebajikan.
Bintang terkenal itu telah memilih lima organisasi atau rumah kebajikan dengan setiap satunya diberikan sebanyak RM920,000.
Organisasi tersebut adalah Make-A-Film Foundation, The Painted Turtle, Red Feather, Tetiaroa Societ dan Amazonia Fund Alliance.
Tindakan Depp mendermakan duit saman tersebut kepada rumah kebajikan terpilih menimbulkan pelbagai reaksi.
Peminat Heard mengkritik tindakan Depp manakala ramai yang beranggapan pesohor itu tidak memerlukan duit tersebut untuk ‘hidup’.
Dengan bayaran yang diterima, kes persengketaan di antara pasangan yang pernah hidup bersama sebelum berpisah itu selesai. -Gempak