Alyah pelik bagaimana dia boleh menikahi Ramli MS
Astro Awani
Januari 17, 2019 12:00 MYT
Januari 17, 2019 12:00 MYT
SELEPAS hampir enam tahun berkahwin dengan Datuk Ramli MS, baru kini penyanyi Datin Alyah mendedahkan, dia tidak pernah menyukai suaminya itu.
Perasaan yang timbul sebelum berkahwin itu, tegas Alyah, juga menyebabkan dia tidak pernah mempunyai impian untuk hidup bersama maestro muzik tersohor negara, Datuk Ramli MS.
Kerana itu juga, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan memberitahu, dia sangat pelik bagaimana akhirnya Ramli yang tidak digemarinya itu bergelar suaminya selepas mereka disatukan dalam sebuah majlis secara rahsia di Indonesian pada 18 Mac 2013.
"Saya tak pernah ada impian dan keinginan langsung untuk menyukainya malah saya tak pernah terfikir pun. Tetapi Allah aturkan saya berjumpa dia semula selepas kali pertama bertemu ketika saya menjadi penyanyi ganti di sebuah kelab dan akhrinya dia menjadi suami saya.
"Saya memang tak menggemari setiap inci pun Tok Ram, sampai hari ini pun pelik. Tetapi saya percaya Allah ada perancangan terbaik yang saya tak tahu, saya go with the flow," kata Alyah dalam temu bual bersama DJ Nazz dalam segmen BegituBegini Gegar di saluran YouTube baru-baru ini.
Dalam temu bual itu, penyanyi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang itu juga tidak menafikan, perbezaan usia sebanyak 20 tahun dengan Ramli juga menyebabkan mereka sering bercanggah pendapat.
Bagaimanapun, Alyah, 38, berlapang dada menerima perbezaan itu kerana hal demikian adalah lumrah dalam kehidupan berumah tangga.
Sekalipun, terdapat banyak cabaran bersuamikan Ramli, namun Alyah mengagumi satu perkara yang ada dalam keperibadian lelaki berusia 61 tahun itu.
"Istimewanya Tok Ram apabila dia boleh melayan budak kecil walau anak saudara saya," ujar Alyah lagi dalam pendedahan itu.