Alyah kongsi keadaan Tok Ram selepas diserang vertigo
Gempak
Januari 7, 2024 14:11 MYT
Januari 7, 2024 14:11 MYT
PENYANYI Datin Alyah berkongsi keadaan kesihatan suaminya, Datuk Ramli MS atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Ram yang dipercayai terjejas akibat vertigo.
Menerusi hantaran video yang dikongsi akaun Instagramnya, mereka dipercayai dalam perjalanan ke Singapura, namun terpaksa berpatah balik kerana belum memperbaharui permit kereta.
“Sampai di Tuas, kereta saya tidak boleh masuk sebab belum renew permit.
“Jadi kami patah balik ke stesen bas Larkin untuk cari teksi ke Singapura, dari situ lah bermula Tok Ram kena vertigo semasa kami mencari teksi.
“Masa nak angkat-angkat beg Tok Ram kata kepala dia 'berpusing'.
“Selepas kami sampai di checkpoint Woodlands, Tok Ram minta tolong hantar dia ke hospital,” tulis Alyah di dalam video tersebut.
Selain itu, Alyah turut meluahkan rasa syukur kerana ketika kejadian tersebut dia ditemani oleh individu yang dipanggil, Kak Nomah yang dijumpainya ketika mereka sedang mencari teksi.
“Alhamdulillah, Allah SWT hadirkan orang yang baik bantu saya, Kak Nomah terus ke hospital dan bawa Tok Ram ke bahagian emergency untuk check semuanya.
“Saya menunggu Tok Ram dari pukul 3 pagi hingga 6 pagi ditemani oleh Kak Nomah yang sama juga ke hulu hilir,” tulis nya pada hantaran tersebut.
Dalam pada yang sama, Alyah turut memohon maaf kerana tidak dapat membalas mesej kerana sibuk mengurus Tok Ram untuk pemeriksaan kesihatan.
“Kepada yang hantar ucapan birthday di WhatsApp dan tidak dibalas, saya mohon maaf sangat kerana kesihatan Tok Ram masih belum baik.
“Jadi, kebanyakan waktu saya penuh dengan urusan seperti driving dan teman Tok Ram check up dan lain-lain.
“Memang tidak sempat untuk membalas mesej kalian. Tapi apa-apa pun terima kasih banyak atas doa dan ucapan,” katanya. -Gempak