Alunan muzik Kitaro, getaran vokal Zainal Abidin di RWMF 2024

Jasmine Abu Bakar
Jun 28, 2024 09:15 MYT
Kitaro dan Zainal Abidin antara yang akan menjayakan Rainforest World Music Festival yang akan berlangsung di Kampung Budaya Sarawak, Santubong, dari 28 hingga 30 Jun 2024. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Rainforest World Music Festival (RWMF) kembali dengan edisi ke-27 dengan mengangkat tema Revolusi.
Sesuai dengan temanya, barisan pemuzik yang dibawakan termasuk Kitaro, artis Jepun yang terkenal dengan alunan muzik instrumental-elektronik.
Pemenang Anugerah Grammy pada 1999 menerusi album 'Thinking of You', Kitaro yang telah menerbitkan 24 album dijangka memukau ribuan peminat muzik tradisional dan kontemporari di Kampung Budaya Sarawak, hari ini.
Berlatarbelakangkan Gunung Santubong, RWMF yang dianjurkan Sarawak Tourism Board (STB) turut membawakan penyanyi tersohor Datuk Zainal Abidin yang bakal membuat persembahan pada esok.
Ikhlas Tapi Jauh, Manis dan Kau Dihatiku antara judul lagu yang akan didendangkan, dengan lagu klasik Zainal yang bakal dinanti-nantikan, Hijau.
Selain itu, RWMF yang berlangsung selama tiga hari juga bakal menampilkan 68 ahli muzik dari 14 negara meliputi enam benua, sama-sama berkongsi pentas.
Bukan itu sahaja, pelbagai reruai makanan, persembahan kebudayaan, bengkel kraftangan, muzik dan seni juga dianjurkan buat pemegang tiket RWMF.
Memberi fokus kepada elemen kelestarian dan hiburan dalam penganjurannya, pemuzik tempatan Sarawak seperti Alena Murang, The Borneo Collective serta Belle Sisoski juga ditampilkan tahun ini.
Sementara itu, bagi menaikkan semangat kenali muzik tradisional kepada pengunjung dalam dan luar negara, nama-nama yang tidak asing lagi seperti Mohram dan Ensemble Melayu Nusantara, juga diketengahkan kali ini.
Nantikan sisi menarik RWMF di semua platform Astro AWANI langsung dari Kampung Budaya Sarawak, Santubong dari 28 hingga 30 Jun 2024.
#Rainforest World Music Festival #Kitaro #muzik tradisional dan kontemporari #Kampung Budaya Sarawak
;